Jangkitan Covid-19 boleh diputuskan: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pemerhatian mengenai keperluan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Walaupun sektor ekonomi penting, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia perlu diseimbangkan dengan pelaksanaan PKP.

"Ini masih dalam perhatian kita untuk melihat perkembangan, mungkin dalam tempoh sehari dua lagi sebelum memperketatkan PKP," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19, di sini pada Selasa.

Menurutnya, peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan pendedahan kepada virus dalam tempoh dua minggu yang lalu.

"Walaupun kita telah jalankan PKP pada 13 Januari, tetapi hasil dan kesan pelaksanaan masih belum dapat dipastikan lagi," katanya.

Beliau berkata, KKM menjangkakan dalam tempoh seminggu akan datang kes akan stabil pada kadar 3,000 setiap hari.

"Mungkin dalam tempoh dua atau tiga hari lagi kes akan meningkat namun jangkaan nilai R-naught (Rt) melebihi 1.2," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga akan membuat penilaian semula terhadap PKP selepas dua minggu.

Artikel Berkaitan:

"Ia sama ada perlu dilanjutkan PKP dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.

Menurutnya, beliau yakin rantaian jangkitan Covid-19 yang sedang dihadapi negara pada ketika ini boleh diputuskan.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana negara telah berjaya melakukannya pada gelombang kedua.

"Kita sudah berjaya pada gelombang kedua dan kita sekali lagi boleh lakukannya pada gelombang ketiga.

"Pastikan kita patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk kita kena putuskan rantaian," tegasnya.