Inisiatif KPLB dalam membantu golongan terjejas susulan PKP 2.0

ABD LATIFF
ABD LATIFF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil beberapa inisiatif untuk meneruskan program pembangunan ekonomi dan keusahawanan khususnya golongan miskin, miskin tegar dan B40 luar bandar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, antara inisiatif tersebut termasuk Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB@KPLB).

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan seramai 700 penerima di bawah Program PPP, manakala 250 orang usahawan lagi bakal dibantu menerusi Program SPKLB.

“KPLB juga akan merancakkan penglibatan usahawan luar bandar dalam platform digital melalui Program DesaMall@KPLB.

“Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi program ini yang mana akan memberi manfaat kepada 1,500 usahawan desa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan Program Ekonomi berkelompok seperti Program Desa Lestari.

Menerusi program itu, katanya, pihaknya bakal membangunkan sebanyak 11 buah kampung dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

“Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih daripada 2,200 penduduk kampung di seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, Abd Latiff turut menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meringankan beban rakyat dalam tempoh PKP dengan memastikan bantuan dapat diberikan dengan lebih menyeluruh.

Beliau berkata, lima agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) telah bersetuju memberi moratorium mengikut agensi masing-masing.

“Antara insentif yang diperkenalkan oleh Mara termasuk penangguhan pembayaran pinjaman bersasar kepada 10,000 orang bekas pelajar dengan implikasi kewangan sebanyak RM4 juta.

“Selain itu, penangguhan pembiayaan perniagaan bersasar 1,500 orang usahawan dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.8 juta dan juga diskaun sewaan kepada 5,500 orang penyewa premis perniagaan Mara melibatkan nilai diskaun sebanyak RM6.6 juta.

“Seramai 17,000 usahawan dan peminjam pelajaran Mara bakal mendapat manfaat dengan keseluruhan bantuan bersasar dan diskaun sewaan mencecah RM15.4 juta,” katanya.

Beliau berkata, Perda pula memberikan penanggguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjamannya melibatkan 98 peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM130,000.

"Perda juga mengecualikan bayaran sewa premis perniagaannya melibatkan 368 penyewa, pengecualian bayaran sewa tanah melibatkan 54 penyewa dan pengecualian bayaran sewa rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Alang, Seberang Perai Utara melibatkan 55 penyewa miskin.

"Dianggarkan seramai 575 penyewa atau peminjam akan menerima manfaat yang melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan iaitu sebanyak RM561,000," katanya.

Menurut Abd Latiff, Kejora pula memberikan penangguhan bayaran sewa rumah-rumah kampung tersusun melibatkan seramai 124 penyewa dan bayaran balik pinjaman bagi 58 unit Rumah Pangsa Bandar Tenggara.

Katanya, Kejora juga bersetuju mengecualikan bayaran sewa tiga unit bangunan komersial, tapak perniagaan dan premis perniagaan miliknya, selain menangguh dan menjadualkan semula bayaran sewa premis pelancongan melibatkan empat operator premis pelancongan.

"Dianggarkan seramai 474 penyewa dan peminjam akan menerima manfaat yang melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan iaitu sebanyak lebih RM685,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kesedar turut memberikan penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjamannya melibatkan 387 usahawan dan mengecualikan bayaran sewa premis untuk 207 peniaga.

"Peminjam dan penyewa Kesedar perlu mengemukakan permohonan moratorium dengan syarat mereka tiada tunggakan sewaan atau bayaran balik dalam tempoh tiga bulan terakhir dan perniagaan mereka terjejas lebih 50 peratus akibat penularan Covid-19.

“Dianggarkan ia akan memberi manfaat kepada 594 usahawan dengan implikasi kewangan sebanyak RM287,000,” katanya.

Beliau berkata, Ketengah pula memberikan pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman selama enam bulan kepada 1,042 penyewa dan penangguhan bayaran sewa beli rumah selama enam bulan melibatkan 201 pembeli rumah Ketengah.

"Dianggarkan seramai 1,243 peniaga, usahawan dan penyewa, bakal menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sebanyak RM1.1 juta," katanya.