MSN sedia bantu FAM

AHMAD SHAPAWI
AHMAD SHAPAWI
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) sedia memberikan kerjasama dalam membantu skuad Harimau Malaya mengadakan kem latihan berpusat secara kuarantin sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, menerusi pendekatan kuarantin, skuad Harimau Malaya itu akan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) sama ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi latihan pusat sepenuh masa melibatkan atlet kebangsaan ketika ini.

Menurutnya, kem latihan berpusat secara kuarantin menyaksikan skuad kebangsaan akan ditempatkan dalam satu kawasan dikawal ketat dengan pematuhan SOP.

"Secara dasarnya, kita telah adakan perbincangan awal bersama sekretariat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan kita bersedia untuk membantu FAM sekiranya mereka berhasrat mengadakan kem latihan pusat bersama sukan lain dalam pendekatan kuarantin.

"Jadi, kita mengalu-alukan sekiranya pasukan bola sepak kebangsaan ingin bersama kita kerana agak jarang pasukan kebangsaan berlatih atau menjalani kem latihan pusat bersama sukan-sukan lain. Kami tidak sabar untuk melihat keadaan ini,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan mengesahkan skuad Harimau Malaya diberi kebenaran menjalani kem latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di MSN di Bukit Jalil.

Menurut Reezal Merican, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) tadi, saya lihat mereka boleh gunakan premis MSN sebagai pusat latihan.

Artikel Berkaitan:

“Presiden FAM pun dan bincang dengan KP MSN (Ahmad Shapawi ) dan secara prinsipnya ia pendekatan yang akan digunakan,” ujarnya.

Mengikut jadual kempen kelayakan tersebut, Malaysia bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 25 Mac sebelum menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil lima hari kemudian.