Pusat beli-belah di Kota Bharu lengang

Keadaan di sebuah pasar raya di Kota Bharu yang kelihatan lengang dengan jumlah pengunjung amat sedikit berbanding kebiasaan pada Selasa. Kios di dalam sebuah pasar raya di Kota Bharu tutup berikutan tiada pengunjung.
Keadaan di sebuah pasar raya di Kota Bharu yang kelihatan lengang dengan jumlah pengunjung amat sedikit berbanding kebiasaan pada Selasa. Kios di dalam sebuah pasar raya di Kota Bharu tutup berikutan tiada pengunjung.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua pusat beli-belah utama di negeri ini sunyi daripada kunjungan orang ramai berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang memasuki hari keempat pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di pusat beli-belah di Jalan Hamzah dan Lembah Sireh itu mendapati pengunjung berkurangan dianggarkan hampir 90 peratus walaupun terdapat sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi ketika PKP 2.0.

Malah, tempat letak kereta di kedua-dua lokasi perniagaan tersebut juga lengang berbanding biasa.

Seorang kakitangan kedai barangan dekorasi, Sofia Fazil, 29, berkata, jumlah pengunjung pusat beli-belah itu berkurangan bermula pada hari pertama penguatkuasaan PKP 2.0, bahkan keadaan semakin ketara pada Isnin dan Selasa.

“Ada lot-lot kedai yang dibuka atas kebenaran, manakala sebahagian pula tutup mengikut inisiatif pihak pengurusan masing-masing kerana kekurangan pelanggan.

“Kelmarin (Ahad) masih terdapat beberapa pengunjung tetapi semalam (Isnin) dan hari ini (Selasa) hanya beberapa orang serta hampir tiada,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di Lembah Sireh di sini pada Selasa.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang didekati pemberita enggan ditemuramah dengan memberikan alasan kesuntukan masa.

Dalam pada itu, ahli perniagaan, Datuk Nor Mizan Ariffin berpandangan, keadaan kekurangan pengunjung di dua pusat membeli-belah itu menunjukkan kerjasama rakyat dalam membantu kerajaan mengekang dan menangani penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan sekarang bukan lagi masa untuk kita berseronok membeli-belah dan sebagainya tetapi tempoh penting untuk kita menyelamatkan nyawa dan melindungi diri demi keluarga serta negara secara keseluruhannya.

“Jumlah pelanggan yang berkurang tersebut memberi impak negatif kepada pendapatan peniaga seperti kami, namun ini adalah tempoh getir dan semua perlu memahami bahayanya Covid-19 yang berada di sekeliling kita selain boleh menjangkiti sesiapa saja,” katanya.