Boleh guna kenderaan persendirian untuk hantar barang

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Individu yang menggunakan kenderaan persendirian sama ada kereta atau motosikal untuk penghantaran barangan atau bungkusan sebagai sambilan atau karyawan bebas dibenarkan meneruskan aktiviti mereka ketika pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan pada Selasa berkata, keputusan untuk membenarkan pekerja sambilan dan karyawan bebas untuk meneruskan aktiviti mereka itu bagi membolehkan mereka menjana pendapatan ketika pandemik itu.

“Sementara untuk perniagaan melibatkan penghantaran barangan di bawah kategori Lori Pembawa A dan Lori Pembawa C, mereka dikehendaki memiliki lesen pengoperasian,” katanya.

Ka Siong berkata, ada keperluan untuk Kementerian Pengangkutan (MOT) membuat kajian penggunaan kenderaan pensedirian untuk penghantaran barangan untuk usahawan yang sumber pendapatan mereka, terutamanya mereka yang terlibat dalam ekonomi gig yang telah terkesan akbibat Covid-19, bagi memastikan mereka mengekalkan pendapatan tambahan dan aktiviti perniagaan mereka dan keluarga.

“Saya telah mengarahkan MOT dan agensinya untuk mengkaji perkara ini dan membuat peraturan yang sesuai, supaya aktiviti perniagaan mereka boleh diteruskan dalam keadaan yang dikawal selia. Bagaimanapun, proses itu akan mengambil masa untuk diputuskan,” katanya.

Ka Siong berkata, bagi mereka yang telahpun mempunyai lesen operasi, lesen perniagaan atau lesen kenderaan perdagangan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial di Sabah dan Sarawak, mereka boleh memohon lesen sementara (LPS) atau penukaran sementara kenderaan perkhidmatan awam, bagi membolehkan mereka menggunakan kenderaan dengan lesen kenderaan pengangkutan awam sebagai kenderaan pengangkutan barangan.

Beliau berkata, kaedah peraturan dan permohonan lesen itu, boleh didapatkan menerusi agensi berkaitan.

Ka Siong berkata, industri pengangkutan makanan dan barangan pihak ketiga, mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan dan membawa kepada faedah sosio-ekonomi kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berada di dalam kumpulan B40 dan ini telah menjadi satu normal baharu di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan dijangkakan untuk berkembang pesat pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ka Siong menasihatkan sesiapa yang bekerja sendiri, bekerja sambilan atau karyawan bebas, untuk mendapatkan perlindungan insuran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mereka yang memandu perlulah sentiasa mengikuti peraturan jalan raya. - Bernama