X

Kindly register in order to view this article
!

Prasarana nafi berlaku kesesakan di dalam Monorel semasa PKP

Kenyataan akhbar oleh Prasarana pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan laporan yang mendakwa berlakunya kesesakan pada sebuah tren monorel milik syarikat tersebut ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menerusi satu kenyataan akhbar, Prasarana menyifatkan laporan yang menggunakan tajuk ‘KL under MCO, but monorail packed to the brim during rush hour’ itu sebagai sesuatu yang mengelirukan.

Menurutnya, laporan yang disiarkan sebuah portal tempatan itu menyiarkan foto tidak bertarikh yang memaparkan keadaan penumpang di dalam sebuah tren monorel.

“Artikel berkenaan menyebut bahawa gambar dihantar oleh seorang penumpang yang tidak bernama mempersoalkan mengapa keadaan itu berlaku ketika Kuala Lumpur dan Selangor sedang dikenakan arahan PKP 2.0.

“Prasarana melahirkan rasa sangsi bahawa gambar berkenaan dirakam ketika PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari lepas.

“Pihak kami sentiasa memantau keadaan semasa dalam semua perkhidmatan rel kami – MRT, LRT dan juga monorel. Sepanjang pengetahuan kami tidak pernah berlaku kesesakan atau ‘overcrowding’ seperti yang dinyatakan oleh laporan berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Prasarana turut menjelaskan bahawa perkhidmatan rel Rapid KL– MRT, LRT dan monorel syarikat pengangkutan itu adalah dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus.

“Ini bermakna berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, penjarakkan fizikal satu meter tidak dikenakan di dalam tren-tren Rapid KL,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Prasarana turut menyatakan bahawa semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan pematuhan rapi terhadap SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

Jelas kenyataan tersebut, Prasarana juga sentiasa memberikan peringatan kepada penumpangnya sama ada yang berada di dalam tren ataupun di stesen supaya sentiasa mengamalkan langkah keselamatan yang disarankan kerajaan.

Pada masa sama, Prasarana memaklumkan bahawa jumlah penumpang monorel telah mengalami kejatuhan mendadak kepada lebih kurang 10,000 sehari secara purata sejak PKP 2.0 bermula berbanding 46,000 sehari pada tahun 2019 iaitu sebelum negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Tren-tren lain seperti MRT, LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling turut menunjukkan penurunan yang ketara.

“Jumlah keseluruhan penumpang rel ketika tempoh PKP 2.0 adalah lebih kurang 150,000 orang sehari (hari bekerja), penurunan hampir 80 peratus berbanding tempoh pra Covid-19 iaitu 700,000 orang sehari.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!