Najib beri 4 cadangan bantu rakyat tak sempat beli makanan

Tangkap layar di Facebook Najib pada Isnin.
Tangkap layar di Facebook Najib pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan empat cadangan yang boleh diambil kira oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah mereka yang kesuntukan masa untuk membeli makanan disebabkan had operasi restoran yang singkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengatasi perkara tersebut, Najib berkata, cara pertama yang boleh digunakan kerajaan adalah dengan melaksanakan PKP secara ketat seperti yang pernah dilakukan pada bulan Mac tahun lalu.

Untuk melakukan langkah tersebut, beliau berkata, kerajaan perlu terus memberi kelonggaran operasi bagi perkhidmatan bungkus makanan ataupun 'take away' di kedai makan dan servis penghantaran makanan sehingga jam 8 malam.

“Masa PKP pertama tahun lalu, masalah tak sempat membeli makanan tidak pernah timbul.

“Ini ialah pilihan terbaik sebab keberkesanan untuk menurunkan penularan Covid adalah paling tinggi agar kita tak lanjut PKP berulang kali dan sistem penyampaian kesihatan yang sudah kritikal boleh dipulihkan dalam masa yang paling singkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Untuk cara kedua pula, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan memendekkan waktu bekerja untuk semua sektor selain sektor makanan kepada hanya sehingga jam 6.30 petang.

Katanya, ia adalah bagi memastikan supaya pekerja masih ada masa satu jam setengah termasuk masa menghadapi sekatan jalan raya untuk membeli makanan sebelum pulang ke rumah.

“Cara ketiga adalah dengan melanjutkan masa yang dibenarkan bagi sektor makanan dan makanan sehingga jam 9.30 malam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara, untuk cadangan keempat pula, Najib secara sarkastik menyatakan bahawa kerajaan boleh sahaja mengatasi isu tersebut dengan cara tidak mengendahkan apa sahaja yang dikatakan oleh rakyat.

“Cara keempat, tak buat apa-apa. Telan sahaja apabila orang ramai tag kamu dengan hashtag #SiBodohKauDengarSini,” katanya.

Terdahulu, banyak pihak menyatakan kegusaran ekoran daripada had waktu operasi kedai makan yang didapati terlalu singkat dan menyebabkan mereka tiada masa untuk mendapatkan makanan.

Pada Ahad, kerajaan memaklumkan akan mempertimbangkan waktu operasi restoran dan kedai makan dari jam 8 malam kepada jam 10 malam sepanjang tempoh PKP dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.