X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Pas saran operasi kedai makan dilanjut hingga 10 malam

Poster mengenai lanjutan tempoh tempahan makanan yang turut dimuat naik di Facebook Pemuda Pas pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mencadangkan agar operasi perniagaan kedai makan dan penghantaran makanan yang dihadkan pada jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, lanjutan tempoh itu disyorkan atas beberapa faktor munasabah terutama kerana pada PKP kali ini rakyat dibenarkan untuk bekerja seperti biasa walaupun batasan had dan jumlah di pejabat telah dikurangkan.

"Tempoh jam 8 malam adalah terlalu awal untuk mereka yang pulang dari kerja atau yang bekerja di rumah untuk membuat persiapan makan malam atas faktor urusan kerja terutama yang berada di bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang lanjut waktu operasi restoran, kedai makan

Rayu lanjut waktu operasi kedai makan

Had operasi perniagaan hingga jam 8 malam tak rasional

"Mengurangkan tempoh waktu operasi akan mengakibatkan pendapatan para 'rider' agak terjejas dalam keadaan pelbagai kekangan kewangan yang sedang melanda mereka dalam tempoh ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pemuda Pas pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial, Kebajikan dan Masyarakat Pemuda Pas berkata, tempoh lanjutan dua jam sehingga 10 malam pastinya tidak menjejaskan kawalan jangkitan dengan syarat hanya penghantaran makanan dan servis ‘take away’ sahaja yang dibenarkan.

"Malaysia sedang dalam tempoh PKP akibat daripada peningkatan jangkitan wabak Covid-19 yang cukup menakutkan. Banyak perkara yang telah dihadkan dalam tempoh pergerakan ini, termasuk had operasi perniagaan kedai makan dan penghantaran makanan yang dibolehkan hanya sekitar 8 malam di seluruh negara.

"Pemuda Pas melihat tempoh ini masih boleh dipertimbangkan memandangkan PKP kali ini sedikit berbeza dengan apa yang telah dilaksanakan pada Mac tahun lepas," katanya.

Ahmad Fadhli berkata, pertimbangan itu wajar diambil berat kerajaan kerana kekangan-kekangan yang disebutkan mampu mengurangkan beban rakyat daripada sudut ekonomi dan emosi.

"Pemuda Pas juga akan terus konsisten mengingatkan kepada seluruh rakyat dan anak muda di luar sana untuk sentiasa menjaga jarak sosial dan memutuskan rantaian jangkitan wabak ini dengan serius agar kita boleh kembali menjalani kehidupan normal seperti biasa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!