X

Kindly register in order to view this article
!

Bot sorok PATI dipintas PPM

PPM Pelabuhan Klang menahan sekumpulan PATI bersama tekong dan kru di perairan Laut Sungai Buloh, Selangor pada Isnin.
A
A

KLANG - Cubaan sebuah bot membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke Indonesia terbantut apabila kegiatan itu berjaya dipatahkan polis dalam Ops Benteng di perairan Laut Sungai Buloh, dekat sini pada Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang kira-kira jam 10.30 malam.

"Semasa penahanan hendak dibuat, bot terbabit enggan berhenti dan cuba meloloskan diri.

"Namun gagal selepas tindakan pantas pasukan serbuan yang melompat masuk ke dalam bot dan mengawal bot itu dan menahan tekong serta dua kru warga Indonesia," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Rosman berkata, pemeriksaan kemudian mendapati terdapat 37 PATI warga Indonesia terdiri daripada 29 lelaki dan tujuh wanita serta seorang bayi perempuan berusia setahun.

Katanya, siasatan mendapati kesemua PATI terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke negara asal dengan bayaran RM1,000 seorang.

"Siasatan awal mendapati tekong itu aktif sejak dua bulan lalu dan ini kali kedua dia mengambil PATI," katanya.

Tambahnya, bot serta tiga telefon bimbit telah dirampas untuk siasatan dan kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen.

"Tekong dan dua kru berusia 29 hingga 48 tahun itu pula disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!