Kerajaan tiada tongkat sakti puaskan hati semua pihak

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) melalui siaran langsung pada Isnin. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) melalui siaran langsung pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui bahawa kerajaan tidak akan mampu untuk memuaskan hati semua pihak dalam segala tindakan dan langkah yang diambil dalam usaha menangani Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, hal sedemikian merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan tidak kira betapa sempurnanya rancangan yang telah dilakukan oleh sesebuah kerajaan.

“Bagi mereka yang faham situasi global dunia kini akan tahu bahawa tiada satu pun negara yang sedang membangun atau yang menghampiri status negara maju yang tidak terkesan dengan impak daripada wabak Covid-19 serta kemelesatan ekonomi dunia akibat daripadanya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada tongkat sakti atau kuasa magis untuk memulihkan situasi semua pihak dalam sekelip mata.

“Tidak semua orang dalam negara ini mampu dipuaskan hati mereka. Namun tekad kepimpinan negara untuk terus berfikir, berusaha dan mencari jalan bagi mensejahterakan rakyat tidak pernah padam,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, selepas perisytiharan darurat, kerajaan dilihat terus menunjukkan komitmen dalam menangani krisis pandemik Covid-19 yang memberikan cabaran getir kepada kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ia boleh dilihat apabila satu demi satu langkah memperkasakan tahap keselamatan, kesihatan dan ekonomi rakyat sedang dilaksanakan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak.

“Dari Istana Negara hingga ke Jemaah Menteri dan seterusnya sampai ke para penjawat awam serta anggota penguat kuasa, semua pihak sedang bertungkus lumus mahu pulihkan kembali kestabilan sosioekonomi negara kita.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat kita yang rajin, terutama dalam bidang kurier, kesihatan, pembuatan, utiliti dan para sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) wajar terus dihargai,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, segala keluh kesah rakyat juga terus didengari oleh kerajaan, contohnya respons yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada surat terbuka daripada 46 orang pakar-pakar kesihatan.

Dalam hal itu, beliau berkata, Muhyiddin bersikap terbuka apabila mempelawa wakil daripada pakar-pakar terbabit untuk menyertai kumpulan penasihat kesihatan dan sains bagi memantapkan lagi kerjasama antara golongan profesional dengan pihak pemerintah.

“Malah luahan hati seorang doktor muda di Hospital Sungai Buloh turut mendapat perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk membuat pengagihan tambahan kakitangan bertugas.

“Tindakan tersebut dilakukan bagi memastikan keperluan sumber manusia mencukupi di hospital tersebut agar beban petugas kesihatan yang sedia ada dapat diringankan sedikit,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran Pakej Bantuan Khas (Permai) juga meneruskan kesinambungan siri bantuan yang dihulurkan kerajaan dengan satu matlamat iaitu meringankan beban ekonomi golongan rakyat bawahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).