Ahli Parlimen Setiawangsa terima notis tuntutan RM10 juta

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan pihaknya telah menerima notis tuntutan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bertarikh 4 Disember 2020 berkenaan isu penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 18 November 2020.

Menurut Nik Nazmi, notis yang dikeluarkan melalui firma guaman pihak YWP, Shahul Hamidi & Hazi, meminta pihaknya membayar RM10 juta sebagai ganti rugi bagi kenyataannya pada sidang akhbar di Parlimen pada November lalu, berkaitan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bertajuk ‘Penjualan Tanah Milik DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)’.

Menurutnya, Laporan PAC menyimpulkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur terdedah kepada konflik kepentingan dalam isu itu kerana mereka berdua turut memegang jawatan Pengerusi dan Pemegang Amanah YWP.

“PAC mencadangkan struktur YWP diteliti dan entiti itu disusun semula sebagai badan berkanun agar ia dapat dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

“Laporan PAC tersebut berdasarkan prosiding yang diadakan pada tahun 2019, ketika Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad menjadi Pengerusi PAC dan kini menjadi Menteri Pengajian Tinggi serta Ketua Wanita UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Nik Nazmi, pihak YWP juga telah mengeluarkan notis kepada empat ahli Parlimen lain iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Who; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk kenyataan mereka mengulas kesimpulan dan cadangan dalam laporan tersebut.

“Pada 26 Disember 2020, peguam kami, Syahredzan Johan telah menjawab kepada peguam YWP.

“Mengapakah YWP tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggota PAC lain termasuk Noraini Ahmad yang merupakan rakan menteri dan pimpinan UMNO seperti Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi YWP, Tan Sri Annuar Musa?

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak akan gentar dengan tindakan mereka dan akan terus menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat dan memperjuangkan kawasan saya,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi turut berkata, satu projek yang dikendalikan oleh pihak YWP di kawasannya telah mendapat tentangan daripada pihaknya dan persatuan penduduk di situ sebelum pilihan raya 2018, yang berlanjutan semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini.

Jelasnya, penduduk di situ telah mengambil tindakan perundangan ke atas DBKL dan menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.