X

Kindly register in order to view this article
!

Permai bakal beri kelegaan kepada masyarakat bandar

Mahathir Mohd Rais
A
A

SHAH ALAM - Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin bakal memberi kesan baik kepada kehidupan rakyat.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, menerusi pakej tersebut, rakyat Malaysia khususnya mereka yang berada di bandar boleh menarik nafas lega dengan beberapa inisiatif yang telah diumumkan.

Beliau berkata, antara bantuan yang diumumkan ialah lanjutan moratorium, pengurangan ansuran pinjaman dan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang akan dipercepatkan.

“Dengan pengumuman ini masyarakat bandar boleh memanfaatkan lanjutan moratorium kewangan yang diberikan kerajaan demi memakmurkan ekonomi keluarga pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan inisiatif bantuan Permai meliputi 22 inisiatif dalam usaha mengurangkan impak dan beban ditanggung setiap lapisan rakyat dan memberikan ketahanan serta kemampanan ekonomi negara untuk pulih semula.

Muhyiddin berkata, pakej bernilai RM15 bilion itu merupakan tambahan kepada bantuan sedia ada susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Antara inisiatif lain yang diumumkan ialah pemberian moratorium selama tiga bulan kepada peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembiayaan caruman penuh pekerja khidmat penghantaran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak.

Sementara itu, Mahathir berkata, pakej bantuan itu merupakan manifestasi dan bukti bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang berkebajikan dan prihatin terhadap rakyat yang memerlukan.

“Semoga pakej Permai yang dizahirkan kerajaan akibat wabak Covid-19 ini mampu menjana dan mensejahterakan ekonomi rakyat,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!