Firmino pemain pertama bakal disingkirkan

FIRMINO
FIRMINO
A
A
A

MASA depan penyerang Liverpool, Roberto Firmino di Anfield tampak kelam berdasarkan prestasi hambarnya dalam beberapa perlawanan terakhir.

Legenda Liverpool, Jamie Carragher berkata, dia melihat Firmino akan menjadi pemain pertama yang digugurkan The Reds sekiranya gagal kembali bangkit pada prestasi sebenar.

"Saya masih yakin Sadio Mane dan Mohamed Salah akan kembali menjaringkan gol. Tetapi saya boleh katakan saya risau dengan Firmino.

"Firmino gagal untuk menjadi seorang penyerang sejati musim ini. Kita semua tahu peranan Firmino di jentera serangan untuk jaringkan gol berdasarkan posisi yang diberikan kepadanya.

"Apabila Firmino gagal jaringkan gol ia akan memberikan masalah besar kepada pasukan. Ketika menentang Manchester United, dia mempunyai beberapa peluang tetapi gagal jaringkan gol," katanya.

Firmino menjadi antara tonggak kejayaan Liverpool dalam beberapa musim kebelakangan ini bersama Mane dan Salah yang turut menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Menurut Carragher, walaupun ramai melihat peranan Firmino untuk menyokong gerakan Mane dan Salah, namun taktikal yang digunakan itu seolah-olah sudah tidak berhasil.

"Saya nampak gandingan Mane, Firmino dan Salah akan terpaksa dipecahkan untuk memastikan serangan Liverpool kembali berfungsi. Pasukan memerlukan impak yang berbeza daripada pemain yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu saya risaukan Firmino jika dia gagal kembali ke prestasi terbaiknya. Tanpa gol dan bantuan gol yang dihasilkannya, ia alasan yang cukup untuk tidak menurunkannya lagi," jelasnya.

Dalam masa sama, Carragher juga percaya pemain berusia 29 tahun itu sudah kehilangan rentaknya dan gagal untuk menyaingi pemain yang lebih muda.

"Sama ada dia (Firmino) sedang berada dalam prestasi hambar atau kerana dia semakin tua. Ia perkara normal untuk seseorang penyerang yang menjangkau usia 30 tahun untuk bergelut bersaing dengan pemain lebih muda," katanya.