Taktik sindiket guna WeChat jual arak terbongkar

Sebahagian minuman keras yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan di dalam sebuah rumah di daerah Melaka Tengah baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Sukri Kaman
Sebahagian minuman keras yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan di dalam sebuah rumah di daerah Melaka Tengah baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Sukri Kaman
A
A
A

MELAKA - Taktik sindiket yang mencari keuntungan menjual minuman keras pelbagai jenama menggunakan aplikasi WeChat terbongkar dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Melaka Raya dan Ujong Pasir, di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 331 botol dan 31 karton minuman keras selain 87 karton rokok seludup yang dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tiga individu berusia 21 hingga 28 ditahan termasuk seorang peniaga minuman keras untuk membantu siasatan.

"Seorang daripada suspek merupakan wanita tempatan dan semakan lanjut mendapati ketiga-tiga yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Dua daripada suspek yang ditangkap juga tidak bekerja namun kita masih menyiasat rangkaian penyeludupan kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan bagi kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM53,907.

"Kita percaya sindiket secara kecil-kecilan ini menggunakan aplikasi WeChat untuk urusan jual beli," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Artikel Berkaitan: