Serah hasil ragut kepada bapa saudara

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki diberkas bersama bapa saudaranya di sekitar daerah ini, pada Jumaat kerana dipercayai bersekongkol dalam kegiatan jenayah ragut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 43 tahun ditahan secara berasingan di Pelabuhan Klang dan Pandamaran dalam serbuan sepasukan polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula jam 6.30 petang.

Menurutnya, polis turut merampas empat unit telefon bimbit jenis Samsung, Oppo dan iPhone 7 selain pakaian, topi keledar dan kad pengenalan mangsa.

"Penahanan suspek susulan laporan polis yang diterima pada hari kejadian daripada seorang penuntut kolej swasta yang diragut seorang lelaki di Pandamaran.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, beg tangan mangsa berusia 18 tahun yang mengandungi telefon bimbit iPhone dan kad peribadi dalam raga motosikal dinaikinya diragut suspek," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 21 tahun itu terlibat dalam tujuh kes ragut di sekitar Pandamaran sejak Oktober tahun lalu.

Tambahnya, suspek kemudian dipercayai akan menyerahkan hasil ragut terutama telefon bimbit kepada bapa saudaranya dengan tujuan untuk mendapatkan pinjaman wang.

"Polis percaya barang hasil ragut itu juga akan dijual suspek di kedai pajak gadai dan orang persendirian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kedua-dua suspek kini masing-masing direman selama lima dan tujuh hari bermula pada 16 Januari lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.