Penyerang masjid Quebec dipenjara seumur hidup

Alexandre Bissonnette
Alexandre Bissonnette
A
A
A

QUEBEC - KANADA. Seorang lelaki warga Kanada yang menembak mati jemaah di sebuah masjid di Quebec pada 2017 dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Quebec Francois Huot menjatuhkan hukuman terbabit ke atas Alexandre Bissonnette, 29, yang menyerbu masuk sebuah masjid di Pusat Kebudayaan Islam Quebec pada 29 Januari 2017, lalu melepaskan tembakan rambang yang meragut nyawa enam jemaah terdiri daripada imigran Islam dan mencederakan lima yang lain.

Dalam keputusannya, Huot berkata, Bissonnette layak mendapat parol dalam tempoh 40 tahun, dan beliau turut menolak permintaan pihak pendakwaan agar Bissonnette dihukum penjara 150 tahun, yang sekiranya dilaksanakan merupakan hukuman penjara paling lama dikenakan di Kanada.

Huot menambah, hukuman tidak harus bersifat balas dendam, namun beliau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Bissonnette yang bermotifkan perkauman dan prasangka.

Sementara itu, Bissonnette yang mengaku bersalah membunuh Khaled Belkacemi, 60, Azzedine Soufiane, 57, Abdelkrim Hassane, 41, Mamadou Tanou Barry, 42, Aboubaker Thabti, 44, dan Ibrahima Barry, 39, berkata beliau malu dengan perbuatannya.

Seorang daripada mangsa cedera, Aymen Derbali yang kini lumpuh, memberitahu wartawan di mahkamah bahawa mangsa terselamat amat kecewa dengan keputusan hakim yang dianggap tidak setimpal dengan perbuatan jenayah Bissonnette yang telah menghancurkan kehidupan mangsa dan ahli keluarga. - BBC

Artikel Berkaitan: