Pemandu teksi dijel sehari gara-gara rasuah polis RM50

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah memberi rasuah sebanyak RM50 kepada anggota polis, seorang pemandu teksi dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Beh Por Teik, 56, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang mengaku orang kurang upaya (OKU) iaitu tempang sejak berusia 5 tahun, dituduh memberi suapan kepada anggota polis cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Lans Koperal Adam Mohd Alhafiz.

Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana dia disenarai dalam kes dikehendaki bersabit laporan Taiping membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu difahamkan kesalahan menipu.

Kesalahan dilakukan di Jalan Kuching di sini pada jam 11 pagi, 16 September 2020 dan dia boleh dihukum mengikut Seksyem 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqah Ab Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun Por Teik yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung tiga anak.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang Covid-19 pendapatan saya turut terjejas dan mohon mahkamah mengenakan hukuman ringan," katanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian polis menahan teksi yang dipandu tertuduh.

Setelah membuat semakan terhadap tertuduh melalui kad pengenalan dan sistem Mobile Card Acceptence Device (MCAD), polis mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod lampau iaitu salah satunya berhubung laporan kes di Taiping yang kemudian polis memaklumkan akan membuat tangkapan terhadap tertuduh.

Semasa proses tangkapan dilakukan, tertuduh telah menunjukkan wang RM50.

Ekoran kejadian itu, anggota polis berkenaan telah membuat satu laporan kepada SPRM dan tertuduh kemudian ditangkap pada hari yang sama.