X

Kindly register in order to view this article
!

PBB desak Israel henti bina penempatan haram di Palestin

Gambar fail menunjukkan sebuah kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto AFP
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin mendesak Israel menghentikan keputusannya pada minggu lalu yang mahu membina 800 kediaman baharu untuk para peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin.

Keputusan pembinaan itu merupakan satu halangan terbesar dalam mencapai penyelesaian konflik di Palestin, katanya dalam satu kenyataan.

"Kewujudan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 termasuk Baitulmuqqadis Timur tidak mempunyai kesahihan undang-undang dan ia adalah pencabulan di bawah undang-undang antarabangsa.

"Perluasan penempatan (penempatan haram Yahudi) menghakis lagi kemungkinan penamatan pendudukan (rejim Zionis) dan penubuhan sebuah negara Palestin berdasarkan garisan sempadan pra-1967," tambah Guterres.

Pada Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan sebanyak 780 kediaman untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat selepas ia diarahkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat, Palestin dianggap sebagai haram oleh kebanyakan komuniti antarabangsa.

Terdapat kira-kira 450,00 pendatang haram Yahudi di Tebing Barat.

Kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin mendiami wilayah itu. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!