Gagal seludup lebih 1 tan ikan ke Singapura

Maqis Johor mematahkan cubaan eksport ikan ke Singapura tanpa permit selepas menahan sebuah lori di KSAB, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, pada Isnin.
Maqis Johor mematahkan cubaan eksport ikan ke Singapura tanpa permit selepas menahan sebuah lori di KSAB, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan 20 jenis ikan basah seberat lebih kurang 1.145 tan tanpa permit eksport yang sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini pada Isnin.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, ikan tersebut yang cuba diseludup keluar ke republik itu ditemui selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah lori membawa muatan ikan di laluan eksport KSAB pada jam 2 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis ikan basah termasuk bawal, siakap, jelawat dan bernilai RM24,265.

"Semua ikan itu diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan pegawai penguat kuasa Maqis yang menjalankan pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Antara bekas ikan yang dirampas dalam sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini pada Isnin.
Antara bekas ikan yang dirampas dalam sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini pada Isnin.

Katanya, susulan itu pemandu lori berusia 29 tahun diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Jelasnya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport daripada Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Maqis katanya, sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara.

Tambah beliau, ini bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.