Lapan anggota FRU ditahan miliki pelanduk

Lapan anggota polis dari Cawangan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan kerana memiliki hidupan liar terlarang, (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Lapan anggota polis dari Cawangan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan kerana memiliki hidupan liar terlarang, (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Lapan anggota polis dari Cawangan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan kerana memiliki pelanduk yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan jenis Land Rover merah dengan tulisan 'Polis' di Empangan Talang, Kuala Pilah pada Ahad.

Tangkapan dilakukan selepas pemeriksaan oleh Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) terhadap sebuah plastik putih dalam kenderaan tersebut dan mendapati terdapat hidupan liar terlarang.

Menurut sumber, kesemua yang ditahan berusia antara 33 hingga 47 tahun dan bertugas di FRU Cawangan Seremban.

"Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Ahad, anggota dan Pegawai Penguatkuasaan (PP) Jabatan Perhilitan telah menahan kereta Land Rover merah di jalan besar Kampung Talang berdekatan Empangan Talang, Kuala Pilah. Penguat kuasa memaklumkam ingin membuat pemeriksaan dalam kereta tersebut.

"Hasil pemeriksaan kenderaan yang dinaiki lapan anggota FRU itu menemui satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk. Pengadu kemudian bertanyakan perihal hidupan liar berkenaan kepada pegawai di situ dan beliau memaklumkan bahawa hidupan liar itu adalah miliknya.

"Pegawai Perhilitan tersebut kemudian memaklumkam bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta 716 terhadap kesemua hidupan liar yang disimpan," katanya di sini pada Isnin.

Sumber berkata, antara barang yang dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Land Rover merah, satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk, tong Coleman dan satu gugusan kunci kenderaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas mengenai tangkapan itu.