Jurucakap Biden nafi batal larangan penerbangan pengembara

Gambar fail menunjukkan sejumlah pengembara berada di Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan Washington di Arlington, Virginia pada 18 Disember tahun lalu. - AFP
Gambar fail menunjukkan sejumlah pengembara berada di Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan Washington di Arlington, Virginia pada 18 Disember tahun lalu. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seorang jurucakap kepada bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menafikan pengumuman Presiden AS, Donald Trump bahawa larangan ke atas pelancong dan pelawat yang tiba dari kebanyakan negara Eropah serta Brazil ekoran pandemik Covid-19 akan ditarik balik.

"Berdasarkan nasihat daripada pasukan perubatan kami, pihak pentadbiran tidak berhasrat menarik balik larangan itu pada 26/1. Secara faktanya, kami merancang memperkukuhkan langkah-langkah kesihatan awam terhadap pengembara antarabangsa sebagai usaha untuk membendung penyebaran Covid-19.

"Berikutan (keadaan) pandemik (covid-19) yang semakin membimbangkan dan lebih banyak varian (Covid-19) muncul di dunia, ini bukan masanya untuk menarik balik sekatan ke atas pengembara antarabangsa," ciap setiausaha Biden, Jen Psaki di laman Twitter.

Beberapa minit sebelum ciapan Psaki itu, Trump berkata dalam satu kenyataan, bahawa beliau akan menarik balik larangan perjalanan melibatkan Eropah dan Brazil.

Namun, larangan perjalanan untuk China dan Iran akan dikekalkan, katanya.

Kedua-dua kenyataan itu dibuat selepas Pusat Untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) mengumumkan semua penumpang udara ke AS diperlukan mempunyai keputusan ujian negatif untuk Covid-19 dalam tempoh tiga hari selepas mereka berlepas dari destinasi masing-masing.

Biden akan mengangkat sumpah jawatan pada Rabu bagi menggantikan Trump sebagai Presiden AS yang ke-46.

Namun, sejak berbulan-bulan lalu, Trump enggan mengaku kalah kepada bekas Naib Presiden AS itu dan menerima keputusan pilihan raya Presiden dengan mendakwa berlaku penipuan undi selain kalah dalam beberapa kes bagi menafikan kemenangan Biden.

Artikel Berkaitan:

Beliau didakwa menghalang pasukan peralihan kuasa bakal Presiden AS itu untuk mendapatkan dana dan tidak pernah mengadakan pertemuan dengannya yang sebelum ini merupakan tradisi Presiden-Presiden Amerika.

Trump pula akan menjadi presiden pertama dalam tempoh 152 tahun negara itu yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah penggantinya.

Pada Isnin lalu, AS mencatatkan rekod lebih 24 juta kes Covid-19 dengan kematian mencecah hampir 400,000 orang. - AFP