'Dunia gagal' jika pemberian vaksin tidak saksama: WHO

Vaksin sudah mula diedarkan di beberapa buah negara. - Foto Reuters
Vaksin sudah mula diedarkan di beberapa buah negara. - Foto Reuters
A
A
A

GENEVA - Dunia menghadapi kegagalan moral jika ketidaksamaan pemberian vaksin Covid-19 khusus kepada warga emas negara miskin berbanding populasi muda dan berkemampuan di negara kaya.

Menerusi laporan BBC, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberitahu lebih 39 juta dos vaksin telah diberikan di 49 negeri yang lebih kaya tetapi satu negara miskin hanya mempunyai 25 dos vaksin.

"Hanya 25 dos diberikan kepada negara berpendapatan paling rendah. Bukan 25 juta, bukan 25,000, hanya 25.

"Saya perlu tegas. Dunia kini gagal secara moralnya dan nyawa serta kehidupan mereka di negara termiskin akan menerima padah daripada kegagalan ini.

"Dengan tindakan 'saya dahulu' ini menyebabkan rakyat di negara termiskin paling terjejas berdepan risiko, ia juga usaha yang sia-sia.

"Kesannya, tindakan ini akan memanjangkan lagi pandemik Covid-19, menambahkan lagi derita, kawalan untuk mengekangnya, selain penderitaan manusia termasuk ekonomi.

"Kesaksamaan vaksin ini bukan sahaja perlu dipatuhi dalam konteks moral tetapi juga penting daripada segi strategik dan ekonomi," ujarnya.

Menurutnya, dunia harus bersatu dan memastikan mereka yang sangat berisiko mendapat vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Memang wajar bagi semua kerajaan meletakkan kepentingan memvaksinasi petugas kesihatan dan warga tua terlebih dahulu tetapi tidak wajar apabila orang dewasa yang muda dan sihat di negara kaya divaksin sebelum petugas kesihatan dan warga tua di negara miskin.

"Vaksin ini mencukupi untuk semua orang. Tetapi sekarang kita perlu bekerjasama sebagai satu keluarga global untuk beri keutamaan kepada mereka yang paling berisiko dijangkiti penyakit berbahaya dan kematian di semua negara," katanya.

Jelasnya, pewujudan vaksin dalam masa setahun adalah pencapaian yang baik, namun pengedaran yang tidak saksama mewujudkan risiko peningkatan ketidaksamarataan antara negara kaya dan miskin.

Beliau dalam masa yang sama turut mengkritik tindakan syarikat vaksin yang melakukan perjanjian dua hala dengan negara individu.

Tegasnya, ini mampu mengurangkan keberkesanan kemudahan multilateral Covax yang diwujudkan untuk memastikan vaksin diberikan kepada semua negara berdasarkan keperluan.

Beliau dalam pada itu mendedahkan 44 perjanjian bilateral di antara pengeluar vaksin dan negara ditandatangani tahun lepas dengan 12 lagi pada tahun ini.

Ini menurutnya, meningkatkan harga dan keuntungan syarikat vaksin.

Dr Ghebreyesus menegaskan situasi ini diburukkan lagi apabila pengeluar memfokuskan kepada mendapatkan kelulusan di negara kaya dengan untung yang tinggi daripada membuat laporan penuh kepada WHO.

Apabila berlaku kekurangan data yang diterima WHO daripada pengeluar vaksin akan melambatkan kelulusan agensi itu untuk penggunaan kecemasan vaksin yang lebih meluas.