Rakyat mesti fahami tindakan kerajaan isytihar darurat

Tangkap layar hantaran di Facebook Abdul Hadi pada Isnin.
Tangkap layar hantaran di Facebook Abdul Hadi pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Rakyat Malaysia perlu menghayati tindakan tegas diambil kerajaan yang mengisytiharkan darurat bagi membolehkan penumpuan diberikan untuk membendung penularan Covid-19 dalam negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, konsep darurat bukanlah sesuatu yang asing dalam ajaran dan kehidupan masyarakat khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

Menurutnya, selain daripada ayat Al-Quran, istilah darurat juga merupakan sesuatu yang telah dihuraikan dengan lebih lanjut oleh para ulama.

“Para ulama’ membahagikan darurat kepada dua kategori iaitu; mu‘ajjal (disegerakan) dan muajjal (ditangguhkan). Lalu mereka meletakkan kaedah mengikut kadar keperluan masa dan sebagainya berdasarkan ayat yang telah disebutkan di atas.

“Adapun kewajipan melaksanakan darurat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu; mudoyyaq (waktu yang sempit perlu disegerakan) dan muwassa‘ (waktu yang luas boleh ditangguhkan),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Bagi memahami perkara tersebut, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, antara contoh perkara darurat yang tidak boleh ditangguhkan ialah bencana kebakaran yang dilaporkan kepada pihak bomba.

Dalam situasi sedemikian, beliau berkata, pasukan bomba perlu mengetepikan pandangan seorang ahlinya yang meminta tindakan segera ditangguhkan bagi terlebih dahulu mengadakan mesyuarat untuk menentukan ketua pasukan, lori dan alat yang digunakan.

Beliau berkata, ini kerana jika bomba tidak menyegerakan tindakan mereka, ia menggagalkan usaha pasukan keselamatan itu untuk menyelamatkan situasi kebakaran yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, tindakan kerajaan ketika ini adalah bertepatan dengan konsep Siyasah Syar‘iyyah yang disebutkan oleh Uthman bin Affan RA iaitu ALLAH mengizinkan pihak yang berkuasa untuk melaksanakan apa yang tidak diperintahkan oleh Al-Quran.

“Maka dalam keadaan seluruh dunia sedang menghadapi wabak Covid-19 yang sedang merebak, seluruh rakyat mesti memahami tindakan tegas yang wajib diambil oleh pihak kerajaan hari ini,” katanya,

Pada masa sama, beliau meminta mereka yang menyebarkan berita yang menakutkan rakyat sehingga mencetuskan panik supaya memberhentikan perkara tersebut.

Menurut beliau, bukan semua orang boleh menanggung berita yang menakutkan walaupun berita tersebut adalah benar apatah lagi sekiranya sesuatu berita itu palsu.

“Maka kerajaan wajib bertindak dengan tindakan yang tegas mengikut lunas undang-undang darurat terhadap sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita bohong dalam kalangan masyarakat yang gelisah dengan pelbagai bencana yang berlaku,” katanya.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan supaya proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Minda Presiden PAS APA MAKNA DARURAT? Buat penganut Islam, al-Quran adalah petunjuk Allah SWT dan Rasulullah SAW...

Posted by Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang on Monday, January 18, 2021