X

Kindly register in order to view this article
!

Pulang jadi pemandu pelancong selepas mengembara ke Korea

Bersama rakan-rakan semasa bekerja di Korea sebelum ini.
A
A

KUALA KRAI - Minat mengembara dan mencintai alam semula jadi mendorong semangat seorang lelaki mengumpul wang untuk mengembara ke Korea namun akibat menghadapi sedikit masalah peribadi, dia terkandas di negara itu, empat tahun lalu.

Kehidupan sebagai pemandu pelancong memberi seribu satu pembelajaran baharu setiap hari kepada pemuda ini.
Kehidupan sebagai pemandu pelancong memberi seribu satu pembelajaran baharu setiap hari kepada pemuda ini.

Nik Ali Nik Muhammad, 30, berkata, dia terpaksa mencari kerja di negara itu untuk meneruskan kelangsungan hidup sehinggalah dia berjaya pulang ke Malaysia, dua hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Menurut Nik Ali, walaupun terpaksa melupakan kerja dan pengalaman yang ditimba di Korea selama empat tahun, namun dia percaya mampu berdiri di atas kaki sendiri untuk mencari rezeki di kampung halaman dan dia pulang dengan satu harapan baharu.

“Saya dinasihatkan oleh pihak kedutaan untuk pulang ke Malaysia memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat ketika itu. Setibanya di Malaysia, dua hari kemudian, kerajaan mengisytiharkan PKP.

“Memang saya ‘terpukul’ dengan keadaan tersebut, namun satu hari, saya meluangkan masa di Gunung Stong, tempat saya bermain sejak kecil dulu. Timbul idea yang mendorong saya untuk kembali aktif sebagai pemandu pelancong yang pernah saya ceburi sebelum ke Korea,” katanya yang berasal dari Kampung Jelawang, Dabong.

Bersama youtuber terkenal dari Canada yang turut mendapatkan perkhidmatannya sebelum ini.
Bersama youtuber terkenal dari Canada yang turut mendapatkan perkhidmatannya sebelum ini.

Walaupun turun naik gunung hampir setiap hari, namun Nik Ali tidak pernah merasakan aktiviti itu sebagai satu perkara yang ‘menyusahkan’, malah itu menjadi sumber rezekinya dalam memberikan perkhidmatan membawa pelancong ke lokasi tersebut.

Nik Ali selalu berkongsi video dan gambar-gambar menarik yang diambil semasa membawa pelancong dari dalam dan luar negara mengenai Gunung Stong di Facebook dan Instagramnya.

Nik Ali (kanan) sentiasa mengabdikan kenangan di puncak gunung melalui gambar-gambar yang diambil dan dimuatnaik dalam facebooknya.
Nik Ali (kanan) sentiasa mengabdikan kenangan di puncak gunung melalui gambar-gambar yang diambil dan dimuatnaik dalam facebooknya.

Ujar lelaki tersebut, usahanya itu menjadi salah satu cara untuk dia membantu mempromosikan Gunung Stong dan perkhidmatan yang disediakan olehnya dan keluarga.

“Ramai dalam golongan profesional termasuk pengkaji sejarah dan pencinta alam semula jadi telah saya bawa ke destinasi tersebut. Saya mengembangkan perniagaan ini dengan cara sendiri tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19.

"Insya-ALLAH masih banyak perancangan yang akan saya lakukan untuk mengembangkan lagi pelancongan eko-tourism ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!