Kesedaran sivik elak sebar berita palsu

Kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat supaya tidak menyebar berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 adalah penting selain dikenakan hukuman penjara dan denda. - Foto 123RF
Kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat supaya tidak menyebar berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 adalah penting selain dikenakan hukuman penjara dan denda. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat supaya tidak menyebar berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 adalah penting selain dikenakan hukuman penjara dan denda, kata pengamal undang-undang.

Peguam Syahredzan Johan berkata, isu penyebaran berita palsu tidak boleh diselesaikan hanya menggunakan undang-undang atau hukuman sebaliknya kesedaran sivik perlu diterapkan dalam diri setiap warganegara.

“Pihak berwajib perlu membuat kempen kesedaran supaya orang ramai lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat yang mereka terima. Tambahan pula, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani perkara ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan supaya memeriksa kesahihan maklumat yang diterima dengan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak menularkan sesuatu maklumat tersebut.

“Saya percaya jika masyarakat mengamalkan perkara ini, kita dapat menangani permasalahan maklumat dan berita palsu semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, peguam Shah Rizal Abdul Manan mengharapkan agar masyarakat bijak dalam menilai kandungan maklumat yang diterima dengan memastikan kesahihan sesuatu maklumat tersebut dan aspek terpenting ialah kesedaran diri setiap individu dalam membuat penilaian yang tepat.

Jelas beliau, kerjasama antara pihak berkuasa dan media juga amat penting untuk menangkis penularan berita palsu dalam kalangan masyarakat supaya mereka sedar bahawa penyebaran berita palsu adalah satu kesalahan.

Peguam Muhammad Amin Abdullah pula berkata, hukuman yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan itu adalah memadai untuk menyedarkan masyarakat bahawa penyebaran berita palsu boleh mengakibatkan mereka didenda dengan jumlah yang tinggi atau dipenjarakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya pesalah itu mengulangi kesalahan yang sama, mahkamah boleh mempertimbangkan hukuman yang lebih berat untuk dikenakan.

Pendapat sama turut dikongsi peguam Razman Sahat yang menyifatkan mahkamah akan mengambil kira latar belakang pesalah dan tahap kesalahan yang dilakukan dalam menentukan hukuman.

Katanya, mahkamah juga mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman berdasarkan faktor mitigasi dan faktor pemberat yang akan dihujahkan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Semalam (17 Januari), tular di media sosial mengenai poster palsu yang memaparkan 5,122 kes baharu Covid-19 direkodkan di dalam negara, sedangkan angka sebenar kes positif ialah 3,339 kes sebagaimana dimaklumkan pada sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, KKM meminta pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti menyebarkan berita yang tidak benar daripada sumber tidak sah yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. - Bernama