Pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan proklamasi darurat tidak boleh dicabar atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 150 (Fasal 8) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 150 telah dimasukkan ke dalam perlembagaan dengan pindaan pada tahun 1981.

“Jadi ia dinyatakan dengan jelas bahawa apa-apa jua dalam perlembagaan, berkaitan hal berpuas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) ialah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas beliau, sekaligus ia turut menafikan bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes-kes berkenaan.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam apa-apa jua bentuk, apa-apa alasan mengenai kesahan sesuatu proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu pengisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1).

“Mahkamah juga dinafikan bidang kuasa untuk memutuskan apa-apa soal tentang kuat kuasa berterusan proklamasi itu atau ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) atau penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat: Anwar

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar untuk mencabar proklamasi darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan di mahkamah.

Kenyataan itu menyusul selepas tiga hari Ahli Parlimen Port Dickson itu mencadangkan kepada semua ahli Parlimen supaya mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Anwar turut menyifatkan keputusan mengisytiharkan darurat seperti tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya negara melawan impak Covid-19.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, sebagai negara berdemokrasi, ia tiada halangan untuk Anwar membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Kita tidak boleh cipta satu lagi kontroversi. Saya cuma tafsirkan dari segi undang-undang,” katanya.


KHAIRIL AZMIN
KHAIRIL AZMIN

Pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar memberikan pandangan sama kerana kesahihan proklamasi darurat tidak boleh dipertikai di mahkamah.

“Kita tidak boleh menghalang individu untuk membawa kes ke mahkamah, mungkin Anwar ada alasan beliau sendiri dalam hal ini.

“Namun peruntukan perlembagaan menyatakan tidak ada mahkamah yang boleh pertikai pengisytiharan darurat oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.