Cadangan pinda Akta Perhutanan tepat pada waktunya!

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dilihat tepat pada waktunya memandangkan kes membabitkan jenayah alam sekitar semakin membimbangkan ketika ini.

Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, sudah tiba masanya jenayah alam sekitar ini dikenakan hukuman berat seperti mana diamalkan di negara maju lain.

“Saya bersetuju kerana kalau kita lihat pada hari ini, isu alam sekitar merupakan satu isu yang sangat penting dalam mana-mana negara di dunia apatah lagi Malaysia juga merupakan negara yang turut sama menandatangani Sustainable Development Goal (SDG) bersama negara dunia yang lain dalam melestarikan alam sekitar.

“Bagi saya, memang perlu (pinda akta) dan ini sesuai juga bila kerajaan pun mula memberi perhatian terhadap pemandu mabuk. Sama konteks pemandu mabuk di negara maju hukuman terhadap mereka sangat berat tetapi di negara kita tidak begitu berat.

Dr Ahmad Marthada Mohamed
Dr Ahmad Marthada Mohamed

“Jadi, apabila mencapai status negara maju maka aspek-aspek seperti persekitaran juga perlu diberi perhatian bukan saja untuk kemajuan ekonomi walaupun ia satu indikator penting untuk menjadi negara maju tetapi aspek persekitaran juga penting,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) agar Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda dengan denda RM10 juta dan hukuman penjara daripada lima kepada 30 tahun kepada pesalah alam sekitar.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, isu jenayah alam sekitar tidak lagi boleh dipandang ringan kerana kesan yang dialami begitu besar oleh pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, kerajaan tidak boleh lagi berlembut dengan jenayah tersebut kerana ia seolah-olah dipandang remeh.

“Kalau kita lihat kepada kes pencemaran sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan tetapi masih ada pihak yang berani untuk berbuat demikian,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Terjun Tanjung Batu musnah

Terdahulu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan keindahan alam semula jadi kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, Manjung, Perak rosak apabila aktiviti kuari yang beroperasi sejak pertengahan tahun lalu mencacatkan kawasan itu.

Projek di atas tapak berkeluasan 18 hektar itu didakwa telah memulakan kerja-kerja awal pembersihan di kawasan laluan masuk ke air terjun berkenaan.