Faktor usia, tahap kesihatan tentukan kelayakan terima vaksin

Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. - Foto AFP
Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. - Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatan penerima bagi pengemaskinian maklumat pemberian vaksin Covid-19.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, tindakan itu diambil oleh KKM selepas laporan kes kematian di Norway oleh Norwegian Medicine Agency yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech.

“KKM mengambil maklum laporan yang dikeluarkan oleh Norwegian Medicines Agency bertajuk ‘Covid-19 vaccination associated with adverse drug reactions in elderly people who are frail’, pada 15 Januari 2021 berkenaan kes kematian 23 individu berusia 80 tahun ke atas di Norway selepas disuntik vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech.

“Merujuk kepada laporan awal yang dikeluarkan pihak Norwegian Medicines Agency, kes kematian adalah dalam kalangan penerima warga emas yang uzur, selain mempunyai latar belakang penyakit kronik. Autopsi menunjukkan penerima mengalami demam, mual dan cirit-birit yang merupakan kesan advers biasa selepas penerimaan imunisasi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Adham, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kini sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pemegang pendaftaran produk, Pfizer (M) Sdn Bhd dan memantau perkembangan isu ini, termasuk tindakan yang diambil oleh badan regulatori antarabangsa yang lain seperti European Medicines Agency (EMA).

Dalam pada itu Adham berkata, vaksin Covid-19; COMIRNATY Concentrate For Dispersion For Injection keluaran Pfizer-BioNTech telah diberikan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021 oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Pendaftaran itu diberi agar akses segera kepada vaksin tersebut diperolehi untuk pencegahan pandemik penyakit Covid-19 yang sedang melanda dunia, termasuk Malaysia.

“Data efikasi dan keselamatan bagi vaksin ini diperolehi daripada kajian klinikal fasa tiga yang melibatkan 44,000 orang sukarelawan, yang turut membabitkan golongan yang berumur lebih daripada 75 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan kajian klinikal tersebut, vaksin ini telah menunjukkan 95 peratus keberkesanan dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang bergejala apabila diberikan dua dos lengkap dalam selang masa 21 hari. Kajian klinikal menunjukkan kesan advers adalah dalam julat yang boleh diterima dan adalah bersifat sementara,” katanya.

Ujar Adham, KKM sentiasa komited dalam memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdafta terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Sekiranya terdapat kesan advers ubat (ADR) selepas penggunaan produk vaksin berdaftar, orang ramai boleh melaporkan kesan ADR susulan imunisasi ini sama ada melalui profesional kesihatan atau melaporkan terus kepada NPRA melalui laman sesawang, https://npra.gov.my katanya.