X

Kindly register in order to view this article
!

Faizal ikrar pamer karakter terbaik

Faizal bersiap sedia untuk kembali menggalas tugas bersama Malaysian Tigers.
A
A

PENYERANG berbisa skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari bersemangat membuka kalendar tahun 2021 selepas kembali mendapat kepercayaan menyarung jersi Malaysian Tigers.

Faizal berkata, peluang yang diberikan ketua jurulatih, Arul Selvaraj akan digunakan sebaik mungkin untuk dia menunjukkan contoh terbaik sama ada di dalam mahupun luar padang.

Malah, anak kelahiran Terengganu berusia 30 tahun itu tanpa berselindung menyatakan kesediaannya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki sepanjang bergelar pemain kebangsaan.

“Saya bukanlah pemain yang bagus tetapi apabila sampai kepada satu tahap yang mana usia anda semakin meningkat, kita perlu menunjukkan kematangan dan karakter baik.

“Selain daripada bermain untuk pasukan kebangsaan dan berusaha membawa kejayaan, mungkin ada perkara lain yang boleh saya lakukan bagi membantu pemain lain khususnya pemain muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Oktober tahun lalu, Faizal disenaraikan untuk mengikuti kem latihan sebelum terpilih kembali menyertai skuad Malaysian Tigers selepas menepati kriteria yang ditetapkan Arul.

Untuk rekod, Faizal pernah beraksi dalam saingan Liga Hoki India (HIL) 2013 bersama kelab Mumbai Magicians selain menimba pengalaman di pentas Liga Australia ketika mewakili Southern Hotshots pada 2011.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia kini giat menjalani latihan secara dalam talian di rumah yang dikendalikan pasukan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Memandangkan Liga Hoki Malaysia (MHL) ditangguhkan ke Julai atau Ogos, saya cuma memberikan fokus kepada latihan bagi mengekalkan stamina.

“Ini minggu kedua saya berlatih di rumah dan setiap sesi dijalankan sekitar 40 hingga 45 minit. Ia sebagai persiapan bagi menghadapi Trofi Juara-juara Asia di Bangladesh Mac depan,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!