'Jangan tuding jari cari kesalahan'

Pertembungan menarik antara KL Thunder dan Bomba Fighters pada saingan STL Champions Cup di Studio Iskandar Malaysia, Johor minggu lalu. - Foto FB STL
Pertembungan menarik antara KL Thunder dan Bomba Fighters pada saingan STL Champions Cup di Studio Iskandar Malaysia, Johor minggu lalu. - Foto FB STL
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail meminta mana-mana pihak tidak saling menuding jari mencari kesalahan susulan penangguhan saingan Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup minggu lalu.

Sebaliknya, beliau berharap kesemua pasukan yang bertanding pada Champions Cup kali ini supaya akur dengan arahan pihak kerajaan dalam usaha melandaikan lekuk kes Covid-19 di negara ini.

Menurut Ahmad, soal kos tambahan yang perlu ditanggung setiap pasukan tidak wajar diungkit memandangkan situasi itu sudah dijangka lebih awal ekoran krisis ketidaktentuan pandemik tersebut.

“Saya ingat pada masa sekarang seeloknya kita semua bersatu. Dengan penangguhan Champions Cup ini, saya tahu memang setiap pasukan terpaksa mengeluarkan kos yang lebih.

“Kami juga perlu mengeluarkan kos tambahan bagi tujuan ujian calitan, penginapan pasukan dan banyak lagi. Tetapi kami melihat dari sudut positif yang mana STL menjadi medan mencungkil bakat baharu dan memperkasa pasukan kebangsaan.

Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

“Pada peringkat awal memang PSM telah berbincang dengan setiap pasukan mengenai sebarang kemungkinan termasuklah menunda STL Champions Cup. Itu merupakan salah satu pilihan tetapi kejohanan tetap berlangsung secara kuarantin,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Baru dua hari berlangsung di Studio Iskandar Malaysia, Iskandar Puteri, Johor, STL Champions Cup terpaksa ditunda selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selama 14 hari mulai 13 hingga 26 Januari ini.

Situasi itu sekali gus menyebabkan para pemain dan pegawai setiap pasukan yang tidak terlibat dengan skuad kebangsaan terpaksa kembali ke negeri masing-masing.

“Ada hikmah daripada apa yang berlaku ini. Jangan kita sibuk bercakaran. Kita juga tidak jangka kes boleh meningkat naik di Johor dalam masa begitu cepat walaupun negeri itu sebelum ini termasuk dalam zon hijau.

“Sejujurnya, kami tidak berniat untuk membebankan mana-mana pasukan. PSM telah cuba dan melakukan yang terbaik untuk semua pihak bagi memastikan penganjuran STL Champions Cup disambung semula,” ujarnya.