Keringat muda mampu cetus impak!

Kamarul Ariffin (kanan) optimis skuad B-19 negara mampu menyerlah pada Sukan SEA di Hanoi November depan. - Foto FB FAM
Kamarul Ariffin (kanan) optimis skuad B-19 negara mampu menyerlah pada Sukan SEA di Hanoi November depan. - Foto FB FAM
A
A
A

KEMAMPUAN skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara bagi menghadapi tugasan pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam tidak harus menjadi perdebatan khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Sebaliknya, skuad kendalian Brad Maloney itu wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka selepas mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM) beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Pengurus negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, kemampuan anak-anak buahnya tidak harus diperkecilkan kerana mereka kini tampil sebagai skuad B-19 terbaik di ASEAN selain menghuni tangga ke-16 di Asia.

“Kalau sebelum ini kita hantar skuad B-23, tetapi boleh tengok negara lain seperti Thailand. Mereka juga tak hantar skuad B-23 untuk menyertai Sukan SEA kecuali tuan rumah sahaja yang siapkan skuad utama dengan tiga pemain senior.

“Tujuannya adalah untuk menang pingat emas dan pada kebiasaannya pada sukan berkarnival seperti Sukan SEA, bola sepak kebiasaannya dimainkan menjelang acara penutup.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita menghantar skuad pembangunan (B-19) ke Sukan SEA sebagai pendedahan dan menambahkan lagi pengalaman mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan skuad B-19 negara akan diberikan tanggungjawab beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi November depan.

Malah, FAM turut memberi kepercayaan kepada Maloney untuk menerajui skuad muda negara itu bersandarkan rekod dan pencapaiannya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Selepas mengetahui beberapa kejohanan dibatalkan, para pemain berasa agak sedih. Jadi ini (Sukan SEA) peluang buat mereka membuktikan sesuatu yang positif,” jelasnya.

Kamarul Ariffin memberitahu, barisan pemain muda negara masih belum memulakan latihan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lembah Klang ketika ini.

“Berikutan penguatkuasaan PKP, kita biarkan pemain-pemain untuk berada bersama kelab masing-masing bagi membuat persediaan menjelang Liga Malaysia (Liga-M) kelak.

“Kita pun tahu ada negeri-negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Jadi mereka ini boleh berlatih berbanding kita kumpulkan mereka di Lembah Klang yang masih dalam zon merah ketika ini,” ujarnya.