X

Kindly register in order to view this article
!

Ingati misi ATM di Balkan

A
A

PADANG kawad Kem Desa Pahlawan Kota Bharu, Kelantan menyaksikan upacara bersejarah pembubaran pasukan tentera pengaman terakhir Malaysia yang bertugas di bumi Bosnia Herzegovina, Malcon V misi Pasukan Penstabil (SFOR) pada Ogos 1998.

Kontinjen yang diketuai Kolonel Syed Khalid Syed Mahmood itu terdiri daripada Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja dan Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) sebagai elemen utama pasukan.

Di hadapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar, seramai 790 pegawai dan anggota menanggalkan lencana SFOR.

Pasukan itu menyertai misi SFOR pada 25 Disember 1997 sehingga Jun 1998.

Perjanjian Dayton yang dimeterai pada 14 Disember 1995 di Paris menamatkan perang di Bosnia Herzegovina yang juga merupakan konflik berdarah paling kejam di Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Perang yang berlarutan kira-kira tiga tahun itu mengakibatkan kira-kira 200,000 jiwa penduduk awam menjadi mangsa peluru tentera dan militan Serbia.

Konflik di wilayah bekas Republik Yugoslavia yang tercetus pada 1991 itu kemudian mengundang kehadiran tentera pengaman misi Pasukan Pelindung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPROFOR) pada 21 Februari 1992 menerusi Resolusi 743.

Atas dasar simpati, Perdana Menteri ketika itu, Datuk (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad telah memberikan komitmen negara apabila bersetuju menghantar tentera menyertai misi berkenaan.

Negara Islam lain yang menyertai 39,000 tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini ialah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Tunisia dan Turki.

Pada masa sama, negara turut terbabit dalam satu lagi misi tentera pengaman PBB iaitu UNOSOM II di Somalia.

Penghantaran kumpulan Batalion Malaysia (Malbat I) yang terdiri daripada Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) dan 3 KAD melambangkan keberanian dan ketegasan negara untuk membantu masyarakat Muslim di sana.

Misi Malbat I yang diketuai Kolonel Md Hashim Hussin sebenarnya sangat terdedah kepada risiko serangan pihak-pihak yang bertelagah seperti tembakan curi serta tindakan provokasi.

Sebagai kumpulan pertama, Malbat I turut berhadapan beberapa kesukaran seperti logistik dan komunikasi termasuklah faktor cuaca yang sangat asing bagi tentera dari negara tropika.

Bagaimanapun, misi pengaman itu mendedahkan ATM khususnya Tentera Darat (TD) dalam senario konflik konvensional. Pengalaman tersebut turut memacu transformasi pemodenan TD kemudian.

Buat pertama kali juga ATM mengoperasikan kenderaan pengangkut berperisai jenis berunut dalam misi PBB apabila membeli 111 buah K200 KIFV dari Korea Selatan untuk memenuhi keperluan di sana.

Misi itu berterusan hingga kontinjen Malbat IV sebelum diambil alih Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas mendapat mandat membentuk Pasukan Pelaksana Damai (IFOR) pada 20 Januari 1995.

Serentak itu, peranan Malbat ditukar kepada Malcon sekali gus menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara Asia terbabit dalam IFOR sekalipun bukan ahli NATO.

Keseluruhannya sembilan kontinjen dihantar ke negara Balkan itu bermula Malbat I hingga IV dan Malcon I hingga V melibatkan 10,514 pegawai dan anggota.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,085 anggota bagi misi UNPROFOR, 3,066 (Malbatt IV, IFOR) dan 2,896 (SFOR).

ATM juga kehilangan tiga pegawai sepanjang misi tersebut iaitu Allahyarham Mejar Ramli Shaari, Allahyarham Mejar Arifin Zakaria dan Allahyarham Leftenan Kolonel Azizan Ahmad.

Malaysia mengambil pendiriannya yang tersendiri dan secara rasmi mengiktiraf Bosnia Herzegovina serta Croatia dan Slovenia sebagai negara-negara merdeka pada Mei 1992.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!