Keluarga masih menaruh harapan temui mangsa

Khadijah (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan Mior Faridalathrash di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat di Sungai Kinta, Ipoh pada Isnin.
Khadijah (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan Mior Faridalathrash di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat di Sungai Kinta, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - "Meninggal atau hidup, kami reda dan terima segalanya. Harapan kami hanya satu iaitu jasadnya ditemui," kata Khadijah Din, 59, isteri kepada Ahmad Amin Ismail, 58, yang dihanyutkan arus longkang selepas terbabit kemalangan di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 petang itu, Ahmad Amin menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S ketika dalam hujan lebat untuk pulang dari tempat kerja sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima pada Isnin bagaimanapun belum menemui sebarang petunjuk terhadap kehilangan mangsa.

Khadijah berkata, dia bersama anak-anak tidak pernah berputus harap dan sentiasa berdoa agar suaminya itu ditemui.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan. Ikhtiar kami dengan doa, solat hajat dan bacaan Yasin setiap hari memohon agar suami dijumpai, harap biarlah dapat melihat jasadnya," katanya ketika ditemui pemberita sempena kunjungan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat di Sungai Kinta di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang motosikal hanyut dalam longkang

Operasi membabitkan 61 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat itu turut dibantu pasukan Kayak Kamparado.

Dalam pada itu, polis memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat mangsa tidak akan dihentikan walaupun tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Artikel Berkaitan:

Mior Faridalathrash berkata, operasi sudah diperluas hampir 100 kilometer bermula dari Sungai Klebang, Ipoh sehingga ke Sungai Perak di Teluk Intan.

"Kita tidak akan berhenti mencari mangsa. Keluarganya ada di sini dan mereka juga berharap agar mangsa ditemui segera.

"Pasukan mencari dan menyelamat kini berusaha keras mencari mangsa hinggakan pada sebelah malam dan tidak turun ke sungai, mereka tetap menyusur tebing bagi melakukan pencarian," katanya.

Beliau berkata, mangsa mungkin telah jauh dihanyutkan arus memandangkan terdapat kerosakan pada perangkap sampah di Sungai Klebang.

Katanya, usaha mencari turut difokuskan di tebing-tebing sungai untuk mengesan kemungkinan mangsa tersangkut di situ.

"Keadaan arus sungai sudah tidak berapa deras dan paras air juga agak cetek kerana cuaca tidak hujan, jadi kita yakin mangsa dapat ditemui dalam waktu terdekat ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa dikhuatiri lemas akui rasa tak sedap hati