Ringgit dijangka rendah minggu depan

No Image Caption
A
A
A

MOMENTUM kenaikan ringgit yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Jumaat, dijangka terjejas minggu depan berikutan kebimbangan pasaran global terhadap perkembangan terbaharu perang dagangan Amerika Syarikat (AS) – China.

Seorang peniaga berkata, walaupun laporan awal mengenai keputusan White House menghantar wakil ke Beijing bagi membincangkan urusan dagangan, Presiden AS, Donald Trump sebaliknya dilaporkan menyuarakan rasa kurang optimis selain menegaskan tidak akan menemui rakan sejawatnya dari China, Presiden Xi Jinping.

"Ini mencetuskan kebimbangan baharu kepada pelabur kerana membabitkan dua kuasa ekonomi besar dunia berikutan gencatan (dagangan selama 90 hari yang dilaksanakan kedua-dua negara itu) akan berakhir pada 1 Mac ini," katanya kepada Bernama.

Pada 1 Disember 2018, China dan AS telah bersetuju melaksanakan gencatan dalam perang dagangan mereka selepas mengadakan rundingan penting antara Trump dan Xi pada Sidang Kemuncak Negara Kumpulan 20 (G20) di Argentina.

Ini disusuli langkah gencatan dagangan selama 90 hari termasuk tiada sebarang tarif dikenakan pada 1 Januari, 2019.

Menurut peniaga itu, jika tiada persetujuan baharu dicapai antara dua negara itu dalam urus niaga dagangan, ini akan memberi kesan kepada perniagaan sekiranya AS bertindak menaikkan tarif import barangan China bernilai AS$200 bilion antara 10 hingga 25 peratus berbanding 10 peratus ketika ini.

Perkembangan terbaharu pertikaian itu turut menyebabkan harga minyak mentah susut ketika kebimbangan mengenai ekonomi terus ketara di Washington mahu pun Beijing.

“Di AS misalnya, sokongan undian terhadap Trump menjunam baru-baru ini manakala China diasak tekanan apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencatat kadar paling perlahan dalam tempoh beberapa dekad dan turut menjadi antara petunjuk kelembapan ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 4.07 hingga 4.08 pada minggu depan akibat faktor luaran selain pengambilan untung oleh para pelabur.

Setakat 6 petang Jumaat, minyak mentah Brent berada pada paras US$61.59 setong berbanding US$ 62.69 setong semalam.

Sepanjang tempoh dagangan singkat berikutan cuti umum Tahun Baru Cina pada Selasa dan Rabu, ringgit ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada 4.0670/0720 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0980 pada Khamis minggu lepas berikutan kenaikan harga komoditi.

Selain itu, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9988/9029 pada Jumaat daripada 3.0409/0450 pada Khamis lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7023/7079 daripada 3.7699/7749 dan naik berbanding euro kepada 4.6059/6124 daripada 4.7000/0070 sebelum ini.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2590/2667 daripada 5.3688/3758 sebelum ini berikutan prestasi mata wang negara Barat itu yang kini dipengaruhi oleh perkembangan Brexit. - Bernama