446 sekolah di ibu negara jalani operasi nyah kuman: DBKL

Mahadi Che Ngah
Mahadi Che Ngah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 446 sekolah di sini yang terdiri daripada sekolah menengah kebangsaan, sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah rendah agama serta Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) terlibat dalam operasi nyah kuman bermula 6 Januari lalu dan dijangka tamat esok.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, operasi itu melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau berkata operasi nyah kuman di sekolah di ibu negara itu adalah satu daripada inisiatif Wilayah Cakna 3.0 yang menekankan konsep Wilayah Persekutuan Prihatin.

“Objektif keseluruhan operasi ini adalah untuk menyediakan persekitaran sekolah yang telah dinyah kuman sebelum sesi persekolahan bermula.

“Kita juga memberi penerangan kepada pihak sekolah akan tata cara nyah kuman sekali gus meningkatkan kesedaran dan penjagaan kendiri dalam kalangan pelajar dan warga Kuala Lumpur,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Mahadi meluangkan masa melihat sendiri operasi nyah kuman dijalankan di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan (SUBA) di Bandar Tun Razak, Cheras melibatkan 40 anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL serta 60 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -Bernama

Artikel Berkaitan: