Rasuah dan integriti: Suatu renungan

No Image Caption
A
A
A

KITA semua sedia maklum bahawa budaya rasuah sudah lama berleluasa di negara kita. Pelbagai inisiatif telah pun dilancarkan oleh pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, swasta dan lain-lain.

Terbaru, Datuk Hussamuddin Yaacub menerusi Sinar Harian telah melancarkan gerakan ‘Sinar Rasuah Busters’ yang merupakan sebahagian daripada kempen ‘Sinar Untuk Malaysia’.

Kempen dan gerakan ini merupakan suatu seruan jihad yang perlu disahut oleh setiap rakyat Malaysia demi membanteras amalan rasuah di negara kita yang boleh diibaratkan umpama penyakit barah tahap keempat.

Menurut Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, integriti merupakan kunci penyelesaian kepada gejala rasuah.

Perkataan integriti juga sering dilaungkan oleh banyak institusi dan organisasi dalam usaha menentang dan mencegah rasuah.

Ringkasnya, orang yang mempunyai integriti tidak akan terjebak dengan gejala rasuah manakala orang yang sebaliknya, sama ada yang memberi atau menerima, dikatakan tidak berintegriti.

Namun, apakah sebenarnya makna integriti?

Secara umum, integriti bermaksud kejujuran, ketulusan, kebenaran, beramanah, berprinsip dan seumpamanya.

Artikel Berkaitan:

Daripada sudut etimologi, integriti berasal daripada perkataan Latin integer, yang bermakna cukup, lengkap, utuh, menyeluruh dan sempurna.

Dalam istilah Arab pula, integriti berkait rapat dengan syumul.

Selain itu, menurut C. S. Lewis integriti ialah membuat perkara yang betul walaupun ketika tiada sesiapa yang sedang melihat.

Menariknya, bagi orang Islam definisi ini mengingatkan kita kepada hadith Rasulullah S.A.W. tentang ihsan, iaitu “beribadat kepada ALLAH seolah-olah kita melihat ALLAH, jika kita tidak dapat melihat ALLAH, ketahuilah sesungguhnya ALLAH melihat kita.”

Di sini beribadat tidak semestinya merujuk kepada amalan khusus seperti solat dan puasa, tetapi merangkumi segenap aktiviti dan perbuatan harian kita yang diniatkan kerana ALLAH.

Justeru, konsep integriti sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru bagi orang Islam, cuma terminologinya sahaja yang berbeza.

Hakikatnya, setiap insan yang dilahirkan dalam keadaan fitrah adalah suci dan berintegriti. Ini kerana insan adalah sebaik-baik kejadian (Quran, 95:4) dan ALLAH berikan insan kemuliaan dan kelebihan berbanding makhluk-makhluk lain (Q, 17:70) sehinggakan para malaikat diperintahkan untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. (Q, 15:29 & 38:72).

Tambahan pula, ALLAH telah mengajar Nabi Adam kesemua nama benda (Q, 2:31).

Ini bermakna, di dalam diri setiap insan sudah tertanam pelbagai potensi seperti jujur, tulus, benar, amanah dan sebagainya yang perlu dicungkil dan direalisasikan semasa hidup di dunia.

Realitinya, kesemua kemuliaan, kelebihan dan potensi yang ALLAH anugerahkan kepada insan adalah supaya setiap insan dapat memenuhi tujuan dia diturunkan ke muka bumi, iaitu untuk memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba yang menyembah ALLAH (Q, 51:56) dan juga khalifah ALLAH (Q, 2:30 & 6:165) yang perlu menyempurnakan amanah yang dipikul (Q, 33:72).

Oleh itu, insan yang hidup dengan kesedaran dan pemahaman tentang hakikat kejadiannya, itulah insan yang mempunyai integriti - cukup, lengkap, utuh, menyeluruh, sempurna dan syumul.

Semestinya insan ini sentiasa memelihara dan menjauhkan dirinya daripada wabak rasuah.

Sebaliknya, insan yang mengamalkan rasuah adalah tidak berintegriti dan secara langsung dia dengan sendirinya telah menolak dan menafikan kemuliaan, kelebihan dan potensi yang telah dikurniakan oleh ALLAH S.W.T. kepadanya serta sekaligus tidak memenuhi tujuan hidupnya di muka bumi.

Sekali lagi, marilah kita sama-sama berjihad menentang dan memerangi rasuah dan menghayati kembali makna sebenar menjadi insan ciptaan ALLAH S.W.T.

* Khairuddin Aziuddin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Insan Siddiq Berhad