X

Kindly register in order to view this article
!

Ujian calitan hanya untuk individu bergejala

Individu bergejala diberi keutamaan untuk menjalani ujian calitan Covid-19.
A
A

PUTRAJAYA - Individu bergejala diberi keutamaan untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

Tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia berikutan kemungkinan ujian calitan tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes amat tinggi.

"Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini.

"Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh tersebut," katanya.

Sejajar dengan perkembangan maklumat terkini yang diperoleh, beliau berkata, pengurusan kes positif boleh dilaksanakan di tempat kediaman berdasarkan penilaian awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan.

"Kriteria kes positif Covid-19 yang dipertimbangkan untuk pengasingan diri di tempat kediaman adalah tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan, bukan daripada golongan berisiko tinggi, selain mempunyai penjaga yang sesuai serta kesesuaian tempat kediaman bagi tujuan pengasingan diri," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bilik pengasingan di kediaman sebaiknya mempunyai kemudahan bilik air.

"Jika terpaksa berkongsi bilik air, bersihkan permukaan yang disentuh seperti tombol pintu, pili air, dan peralatan lain setiap kali selepas digunakan," katanya.

Menurutnya, pesakit perlu mengelakkan interaksi secara bersemuka dengan penghuni yang lain.

"Sekiranya tidak dapat dielakkan, pastikan kedua-dua pihak memakai pelitup muka," katanya.

Tambahnya, pesakit perlu melaporkan status kesihatan terkini kepada petugas kesihatan melalui aplikasi MySejahtera setiap hari.

"Jika gejala bertambah teruk, hubungi Covid-19 Assessment Centre (CAC) atau klinik kesihatan yang terdekat atau hubungi talian 999 bagi kes kecemasan," katanya.

Beliau berkata, selain tidak menerima pelawat, bilik pengasingan perlu mempunyai pengudaraan yang baik.

"Kerapkan cuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.

"Amalkan etika batuk yang betul serta tisu dan pelitup muka yang telah digunakan perlu diikat di dalam bungkusan sebelum dibuang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pesakit Covid-19 dinasihati agar sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi CAC setiap masa.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!