Jalan runtuh, retak akibat banjir dibaiki segera: Bung Moktar

Bung Moktar - Foto Bernama
Bung Moktar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jalan-jalan yang runtuh dan retak akibat banjir serta hujan lebat di negeri ini akan dibaiki segera agar ia tidak menjejaskan kehidupan seharian rakyat Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata kebanyakan jalan yang runtuh dan retak itu melibatkan laluan di kawasan bukit, antaranya Jalan Kota Kinabalu-Tambunan dan Jalan Maang Penampang-Lokawi yang ketika ini, tidak boleh dilalui kenderaan.

Katanya, kajian dan reka bentuk jalan terlibat akan dilakukan segera bagi memastikan kerja baik pulih jalan yang masih di bawah selenggaraan syarikat konsesi itu, dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi telah diminta memantau serta memasang papan tanda amaran demi keselamatan para pengguna jalan raya...pengguna diminta menggunakan jalan alternatif bagi menjamin keselamatan mereka sehingga tiba ke destinasi.

"Pengguna jalan raya perlu sentiasa mendapatkan maklumat dari JKR dan saya juga berterima kasih kepada netizen yang memuat naik isu ini di media sosial dan melalui aplikasi WhatApps yang dihantar terus kepada saya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas isu keretakan jejambat di Luyang, Bung Moktar bekata jurutera perunding telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan JKR kini menunggu laporan sebelum mengambil tindakan susulan dan usaha menampal keretakan yang berlaku akan dilakukan segera.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan berasingan memaklumkan sebanyak 44 jalan terjejas dalam kejadian banjir di negeri ini, setakat 12 tengah hari tadi (Isnin).

Beaufort, merupakan daerah yang mempunyai jalan terjejas terbanyak dengan 19 jalan, iaitu Jalan Baitam, Jalan Sinoko, Jalan Sindok, Jalan Simpang Tiga, Jalan Bambangan, Jalan Kampung Jabatan Baru, Jalan Baitam Ulu, Jalan Baitam Laut, Jalan Kampung Papas, Jalan Pekan Lama, Jalan Kampung Lumantak.

Artikel Berkaitan:

Turut terlibat, Jalan Bandau, Jalan Kampung Lampijas, Jalan Kampung Baitam Baru, Jalan Kampung Kayai, Jalan Kampung Dungu, Jalan Kampung Brunei, Jalan Kampung Binunuk dan Jalan Kampung Balibata.

Di Penampang, jalan terlibat ialah Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kasigui, Jalan Lama Penampang dan Jalan Dabak.

Jalan utama menghubungkan daerah Tuaran dan Kota Kinabalu iaitu Jalan Tuaran Melalin-Kota Kinabalu turut terjejas, selain dua lagi jalan di daerah itu iaitu Jalan Taman Seri Rugading dan Jalan Kampung Kauluan.

Di Kudat, enam jalan terjejas iaitu Jalan Tamalang, Jalan Airport, Jalan Pusat Bandar, Jalan Damai, Jalan Rondomon dan Jalan Surau Lanjong, manakala dua jalan terjejas di Kota Marudu iaitu Jalan Langkon Pitas dan Jalan Kampung Damai.

Sementara di Pitas, tujuh jalan terjejas iaitu Jalan Langkon, Jalan Suang Duyung, Jalan Liu Malubang, Jalan Kinabongan, Jalan Kabatasan Dandun, Jalan Sosop Bai dan Jalan Mengkubau Laut, manakala di Paitan dan Lahad Datu, masing-masing satu jalan terjejas iaitu Jalan Sungai-sungai dan Jalan Bypass Utama. - Bernama