Belum ada petunjuk dua nelayan hilang

Afzanizar (dua dati kanan) menunjukkan kawasan SAR yang diperluaskan kepada 36 batu nautika ketika sidang akhbar di Jeti Nelayan Padang Temu, Melaka pada Isnin.(Kiri: Irwan Radjab, Kanan: Ahmad Norizan Mohamad)
Afzanizar (dua dati kanan) menunjukkan kawasan SAR yang diperluaskan kepada 36 batu nautika ketika sidang akhbar di Jeti Nelayan Padang Temu, Melaka pada Isnin.(Kiri: Irwan Radjab, Kanan: Ahmad Norizan Mohamad)
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang dilaporkan hilang ketika turun ke laut di Jeti Nelayan Padang Temu sejak Rabu lalu diteruskan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi yang ditangguhkan pada jam 7 malam Ahad diteruskan semula pada 8 pagi Isnin.

Beliau berkata, kawasan pencarian diperluaskan kepada 36 batu nautika berbanding sekitar 10 batu nautika berhampiran Pulau Udan pada Ahad.

"Operasi yang diketuai polis ini disertai pelbagai agensi termasuk Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Martim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Berdasarkan maklumat saksi, kita percaya mangsa berada di sekitar Pulau Udan, namun setakat ini belum ada sebarang petunjuk atau objek yang ditemukan berkaitan kes kehilangan mangsa. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada mangsa menghadapi masalah teknikal seperti kehabisan minyak dan sebagainya," katanya ketika sidang akhbar di Jeti Nelayan Padang Temu di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis menerima laporan polis berhubung kehilangan kedua-dua individu terbabit daripada isteri salah seorang mangsa berusia 34 tahun yang memaklumkan suaminya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, bersama seorang rakan berasal dari Indonesia Irwan Radjab, 47, telah ke laut dengan menaiki bot kayu sejak Rabu lalu namun sehingga sekarang gagal dihubungi.

Menurutnya, pihaknya yakin kedua-dua mangsa hilang ketika ke laut memandangkan terdapat kenderaan milik mangsa jenis Kia Spectra ditemui berhampiran jeti berkenaan selain saksi yang melihat kedua-dua mangsa berada di perairan itu.

Katanya, tinjauan yang dilakukan selama kira-kira 25 minit menggunakan helikopter Pasukan Khas Udara yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor masih belum menemukan sebarang petunjuk positif.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun usaha pencarian agak mencabar dengan keadaan laut bergelora dan angin agak kuat, lebih kurang 35 knot. Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu dikhuatiri hanyut berhampiran dengan Pulau Udan.

Penguasa Kanan Bomba ll, Muhammad Izwan Arief berkata, pihaknya menerima aduan kejadian itu pada jam 11.26 pagi sebelum satu bilik gerakan dibuka di lokasi.

Menurutnya seramai 36 orang termasuk pihak polis Jabatan Laut Malaysia, Maritim Malaysia dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat itu.