Kes Covid-19 catat 3,306 kes, empat kematian dilaporkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 3,306 kes baharu positif Covid-19 dengan empat kematian dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah 161,174.

"Jumlah kes aktif pula adalah 38,791," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 3,299 kes melibatkan penularan dalam negara dan tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Bagi penularan dalam negara, ia membabitkan 2,198 rakyat tempatan dan 1,101 warga asing," katanya.

Beliau berkata, Selangor kekal sebagai negeri tertinggi melaporkan kes positif dengan 1,213 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 912 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Sabah merekodkan 432 kes dan diikuti Johor 329 kes.

Artikel Berkaitan:

"Kuala Lumpur merekodkan 250 kes, Melaka (157), Kelantan (150), Pulau Pinang (145), Kedah (142), Negeri Sembilan (126), Perak (114), Sarawak (100) dan Pahang (84), Terengganu (20).

"Perlis (16), Putrajaya (15) dan Labuan (14)," katanya.

Katanya, sebanyak 107 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (65), Kluster Tembok Mempaga (35), Kluster Tembok Nanas (empat), Kluster Damai Pelangi (dua) dan Kluster Pagar Siput (satu)," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 226 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 94 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 605 kes," katanya.

Sementara itu, tambahnya, bilangan kes sembuh yang dilaporkan adalah sebanyak 2,293 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 122,344 kes iaitu bersamaan 75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 hospital swasta di seluruh negara telah dikenalpasti bagi membantu kerajaan menguruskan pesakit Covid-19.

Katanya, menerusi CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), KKM sedang memperhalusi mekanisme cadangan kerjasama dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

"Segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat," katanya.