SDB akan ditubuhkan bangunkan Sibu

Wong Soon Koh
Wong Soon Koh
A
A
A

SIBU - Lembaga Pembangunan Sibu (SDB) akan ditubuhkan untuk merangka hala tuju pembangunan Sibu pada 2030 yang akan memberi tumpuan kepada tiga sektor industri iaitu pelancongan, pertanian dan pendidikan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, lembaga tersebut akan diketuai oleh Temenggong Datuk Vincent Lau dan Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce manakala beliau sendiri bertindak sebagai koordinator antara lembaga dan kerajaan negeri.

Menurutnya, lembaga itu nanti akan dianggotai ketua-ketua masyarakat Cina, presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Cina (UCA) Sibu, presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu serta pertubuhan-pertubuhan masyarakat bumiputera di samping pemimpin-pemimpin korporat.

“Mereka akan bersama-sama menentukan hala tuju bagaimana untuk membangunkan Sibu pada tahun 2030 akan datang melalui bidang industri iaitu pelancongan, pertanian dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran UCA Sibu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib di sini malam tadi.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak berkata, pembangunan ketiga-tiga industri tersebut sangat penting kepada pertumbuhan ekonomi Sibu.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti pelayaran menyusuri Sungai Rajang menggunakan kapal persiaran sedang diusahakan dan merupakan satu daripada pembangunan industri pelancongan di Sibu manakala banyak tanah-tanah ideal di sini boleh dibangunkan untuk industri pertanian.

“Kita mempunyai banyak tanah dekat Sibu dan banyak estet getah terbiar yang boleh dipulih dan dibangunkan untuk dijadikan kawasan pengeluaran makanan. Lembaga ini boleh meminta tanah-tanah ini daripada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih ramai orang muda mengusahakannya.

Artikel Berkaitan:

“Dalam industri pendidikan pula, Sibu sudah mempunyai Kolej Laila Taib dan University College of Technology Sarawak (UCTS), diharapkan lembaga ini dapat menarik lebih ramai lagi pelajar-pelajar tempatan melanjutkan pelajaran,” jelasnya.

Selain itu katanya, lembaga itu nanti akan memberi tumpuan kepada industri berkaitan kayu-kayan yang beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penurunan dan industri pembuatan kapal yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan. - Bernama