Padah bakar kain, langsir dalam rumah

Kejadian berlaku di rumah pusaka peninggalan ibu bapa kepada suspek dan juga abangnya.
Kejadian berlaku di rumah pusaka peninggalan ibu bapa kepada suspek dan juga abangnya.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penagih dadah ditahan selepas membakar longgokan pakaian dan kain langsir di rumahnya di Lembah Raja Pinang Tunggal, Tasek Gelugor di sini pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditangkap oleh abang dan sepupunya sebelum diserahkan kepada polis.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 10.40 malam itu, abang suspek yang sedang tidur terjaga apabila terdengar bunyi motosikal di ruang tamu rumah tersebut.

Tambahnya, rumah tersebut merupakan rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka dan didiami empat beradik termasuk suspek.

"Ketika abang mangsa yang berusia 46 tahun sedang tidur, dia terdengar bunyi bising motosikal di ruang tamu rumahnya. Apabila dia keluar dari bilik untuk pemeriksaan, dia mendapati suspek yang juga adik bongsunya sedang membakar longgokan kain dan langsir.

"Panik melihat api yang sedang marak, abang suspek terus memadamkan api menggunakan air. Suspek kemudiannya ditangkap oleh abangnya dan sepupu mereka sebelum menyerahkannya kepada polis," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai 10 rekod lampau melibatkan tiga kes jenayah dan tujuh kes dadah.

"Dari keterangan abang suspek, adiknya itu bertindak demikian kerana pengaruh dadah. Ujian saringan air kencingnya positif methamphetamine. Hubungan antara mereka sebelum ini baik dan tidak pernah bermusuh.

Artikel Berkaitan:

"Ketika kejadian, dua beradik lagi tiada di rumah kerana bekerja. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya.