Bersatu bidas kenyataan Guan Eng

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa peranan Jawatankuasa Khas Bebas adalah sebagai rubber stamp kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, tugas Jawatankuasa Khas Bebas adalah untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepanjang tempoh darurat.

“Yang akan buat keputusan ialah Yang di-Pertuan Agong, bukan Tan Sri Muhyiddin. Jangan hina Yang di-Pertuan Agong seolah-olah Seri Paduka Baginda boleh dipergunakan sebagai ‘rubber stamp’ oleh sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, DAP seharusnya tidak menilai fungsi jawatankuasa itu dari sudut negatif.

Katanya, fungsi Jawatankuasa tersebut digunakan demi kepentingan rakyat dan bukannya untuk berpolitik semata-mata.

“Sepatutnya DAP terima dahulu pengumuman tersebut dengan takzim dan hormat. Ketepikan sentimen kepartian demi khidmat kepada rakyat.

“Ia adalah peluang untuk memberi syor terus kepada Yang Di-Pertuan Agong. Laksanakan dulu peranan itu dengan sebaiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tiada alasan tidak guna dana Covid-19 RM17 bilion: DAP

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Wan Saiful turut menasihatkan DAP agar tidak angkuh sehingga mengenakan pelbagai syarat untuk jawatankuasa berkenaan.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong mencemar duli membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk memberi pandangan, adalah salah jika ada syarat pula yang nak dikenakan.

“Jangan sombong mengenakan syarat seolah-olah bagi betis hendak paha pula,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng bersetuju untuk mempertimbangkan kerjasama dengan Jawatankuasa Khas Bebas dalam menasihat Yang di-Pertuan Agong sekiranya pihak pembangkang diberi persetujuan yang sama dalam menentukan arahnya.

Guan Eng turut memberi peringatan kepada Muhyiddin agar tidak memanfaatkan niat baik parti pembangkang sebagai cara untuk ‘menghalalkan’ setiap keputusan yang tidak berperlembagaan.