Kesihatan rakyat keutamaan paling tinggi: Dr Adham

Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dalam pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, menerusi Permai juga, kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik Covid-19.

"Semasa pengumuman tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diberikan peruntukan RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan yang melibatkan perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen, kit saringan, cecair pembasmi kuman dan bahan guna habis (consumable)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kerajaan tambah lebih 3,500 petugas kesihatan hujung bulan ini

Covid-19: Hukum pengambilan vaksin harus, wajib

Menurutnya, KKM juga telah diperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk penyediaan vaksin Covid-19 dengan pelan vaksinasi yang dijangka akan bermula pada selewat-lewatnya pada bulan Mac depan.

"Kerajaan begitu prihatin dengan pertambahan beban tugas sedia ada barisan hadapan KKM, justeru itu sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak akan diambil pada hujung bulan Januari 2021 yang melibatkan jururawat, anggota paramedik dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, sebanyak RM100 juta disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta yang akan menerima dan merawat pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam," katanya.

Sehubungan itu, dengan pengumuman langkah-langkah tersebut, KKM menyeru supaya semua pihak bersama-sama memerangi penularan Covid-19 secara bersepadu.