Moratorium bank, pinjaman Mara terus disediakan

Pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) melalui siaran langsung TV di sini, hari ini. - Foto Bernama
Pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) melalui siaran langsung TV di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, moratorium, termasuk lanjutan moratorium,dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman. Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam peniaga kecil dan sederhana (PKS).

"Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran.

"Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian," katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0, di mana peminjam terkesan akibat Covid-19 dan bencana banjir boleh memohon untuk membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021.

Katanya, usahawan MARA yang terkesan akibat Covid-19, PKP dan bencana banjir juga boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA.

"Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA telah bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021. Saya juga menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengurangkan bebanan PKS, Kerajaan telah memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa,potongan khas ini akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS. Tempoh potongan khas ini juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

"Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB,"katanya.

Sementara itu, pelaksanaan skim mikro kredit seperti yang pernah diumumkan sebelum ini bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dipercepatkan.

Muhyiddin berkata bagi tujuan itu, sejumlah RM1 bilion kemudahan mikro kredit disediakan yang merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional.

"Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

"Melalui kempen itu, usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM200 juta bagi menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa banjir.

Muhyiddin berkata, sebanyak RM50 juta juga telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

“Dalam masa kita menghadapi wabak Covid-19, negara kita juga diuji dengan bencana banjir.

“Saya telah mengarahkan agensi Kerajaan yang berkaitan untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu baru-baru ini,” katanya.