Kartel daging: Kastam siasat modus operandi, prosedur import

Sebuah gudang daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu di Senai, Johor diserbu pihak berkuasa pada Disember lalu.
Sebuah gudang daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu di Senai, Johor diserbu pihak berkuasa pada Disember lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) memfokuskan siasatan dari segi modus operandi penyeludupan susulan tumpaskan kartel daging sejuk beku di Senai, Johor, Disember pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mengenal pasti dari segi pengimportan, sumber dan negara yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Kita akan teliti modus operandi, prosedur import dan eksport dari negara terlibat.

"Setakat ini tiada tangkapan, namun kes ini masih dalam siasatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, isu daging kartel daging turut disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan kegiatan kartel mengimport daging tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan.

Kegiatan kartel berkenaan terbongkar menerusi serbuan KPDNHEP, Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bersama-sama agensi lain di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.

Susulan itu, pada 4 Januari lalu, seramai empat individu termasuk seorang wanita direman empat hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang berusia 39 hingga 50 tahun itu termasuk pengarah, pekerja dan kerani syarikat pengimport daging.

Kesemua disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.