X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga individu dikompaun cuba rentas negeri guna laluan tikus

Polis mengarahkan sebuah kenderaan yang membawa anak kecil untuk berpatah balik selepas gagal mematuhi SOP.
A
A

PASIR PUTEH - Cubaan tiga individu dari Terengganu untuk 'meloloskan' diri bagi tujuan rentas negeri menggunakan 'laluan tikus' di Kampung Golok di sini gagal apabila mereka ditahan dalam Op Bersepadu Laluan Tikus pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketiga-tiga individu itu telah dikompaun RM1,000 selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang aktiviti rentas negeri dilakukan tanpa kebenaran khas daripada pihak berkuasa.

"Selain itu, empat buah kenderaan dari arah Pasir Puteh yang cuba merentas negeri telah diarahkan berpatah balik.

"Sebanyak 50 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi selama tiga jam itu," katanya kepada pemberita di Op Bersepadu Laluan Tikus di Kampung Golok di sini pada Isnin.

Mohd Azmir (kanan) menyoal siasat seorang bapa bersama anaknya yang gagal mematuhi SOP dalam tempoh perlaksanaan PKP.
Mohd Azmir (kanan) menyoal siasat seorang bapa bersama anaknya yang gagal mematuhi SOP dalam tempoh perlaksanaan PKP.

Seramai 25 anggota termasuk pegawai telah terlibat dalam operasi tersebut.

Tinjauan Sinar Harian sepanjang tiga jam operasi itu mendapati masih ada segelintir masyarakat yang degil dengan tidak mematuhi produser operasi standard (SOP) dengan membawa anak kecil keluar bersama menggunakan motosikal mahupun kereta.

Selain itu, ada juga dalam kalangan orang ramai mengambil kesempatan memandu melebihi 'radius' 10 kilometer yang dibenarkan oleh kerajaan dari kawasan tempat tinggal.

Mohd Azmir berkata, sebanyak 21 kompaun kesalahan trafik turut dikeluarkan kepada mereka yang melanggar peraturan semasa operasi itu dilaksanakan.

Menurutnya, ia melibatkan kesalahan lesen tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh serta nombor plat.

"Kita turut jadikan operasi ini untuk mengesan perlanggaran undang-udang lain termasuklah jenayah," katanya.

Katanya, pemantauan di lorong-lorong tikus di Pasir Puteh akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti rentas negeri tanpa permit sah tidak berlaku sepanjang PKP.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!