Kapal tangki ditahan bersauh tanpa kebenaran

Kapal tangki ditahan di 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Tongkah, Selangor pada Ahad.
Kapal tangki ditahan di 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Tongkah, Selangor pada Ahad.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran di 4.5 batu nautika barat daya Tanjung Tongkah di sini pada Ahad.

Kapal tangki Chang An 1 yang berdaftar di Panama itu ditahan kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, penahanan itu hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan negara.

"Seramai 21 kru terdiri daripada warga China dan Myanmar yang berumur sekitar 23 hingga 54 tahun telah ditahan untuk pemeriksaan.

"Semakan mendapati kesemua kru berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kapal terbabit dalam perjalanan dari India ke Pelabuhan Klang.

Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kapten dan pembantu jurutera kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut. Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS999.