Desak MB bersihkan tuduhan ijazah palsu

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor mendesak Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian membersihkan tuduhan memiliki ijazah palsu seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Penerangannya, Johan Azam Mohd Yasin berkata, Menteri Besar perlu menunjukkan bukti sijil ijazah asli yang diperolehinya ketika belajar dahulu di UPM.

“Pemuda Umno Johor hari ini mendesak Osman Sapian untuk tampil membersihkan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dengan menunjukkan bukti sijil ijazah asli yang diperolehinya ketika belajar dahulu di UPM.

“Sekiranya gagal menunjukkan bukti, kami minta beliau untuk mengaku telah mengkhianati dan menipu rakyat negeri ini, sekali gus dipersilakan untuk berundur melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar segera,” katanya di sini hari ini.

Johan Azam berkata, memalsukan ijazah atau kelayakan akademik adalah satu kesalahan besar dilakukan oleh individu tiada integriti, apatah lagi sebagai yang bergelar Yang Amat Berhormat.

Beliau berkata, sehingga saat ini, Menteri Besar masih belum menjawab isu tersebut.

Status pendidikan Osman diperkatakan selepas warganet meragui kelayakan beliau yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut laman Facebook Ops Johor, warganet mula mempersoalkan kelayakan Osman kerana pemeriksaan mereka mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti tersebut.

Artikel Berkaitan: