JPJ tumpu kesalahan rentas sempadan guna kenderaan perdagangan

Zailani (berdiri di tengah) meninjau kaunter JPJ di UTC Ampangan, Seremban dalam lawatannya pada Isnin.
Zailani (berdiri di tengah) meninjau kaunter JPJ di UTC Ampangan, Seremban dalam lawatannya pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Kesalahan melintas sempadan melibatkan kenderaan perdagangan antara yang akan diberi tumpuan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Ops Covid-19 yang diadakan di seluruh negara ketika ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pemantauan itu dilakukan berikutan kebimbangan kemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan kenderaan perdagangan untuk merentas sempadan meskipun tidak mendapat surat kebenaran daripada polis.

Zailani Hashim
Zailani Hashim

"Sekarang jika mahu rentas sempadan, mereka tidak boleh naik kereta, jadi mereka guna bas. Contohnya orang ramai yang menaiki bas perlu menunjukkan surat kebenaran rentas sempadan terlebih dahulu kepada syarikat bas sebelum dibenarkan menaiki bas.

"Kesalahan itu yang kita akan tengok selain daripada kesalahan biasa melibatkan kenderaan perdagangan seperti lebih muatan dan kesalahan permit," katanya ketika sidang akhbar sempena lawatan beliau di kaunter JPJ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiada sekatan untuk kenderaan perdagangan beroperasi sepanjang tempoh PKP di enam buah negeri yang bermula minggu lepas.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, laluan khas akan disediakan di setiap SJR dan pemandu kenderaan perdagangan hanya perlu mengemukakan surat pengesahan majikan untuk beroperasi jika diminta oleh pihak berkuasa.

Zailani berkata, dalam tempoh dua hari operasi yang bermula Sabtu lepas, sebanyak 321 kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan direkodkan; antaranya melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan tiada lesen kenderaan motor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JPJ tidak menolak kemungkinan menambah jumlah anggota yang dikerah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

"Jika ada keperluan, kita akan tambah anggota. Tapi keutamaan kita bukan sekatan jalan raya (SJR) biasa atau sedia ada yang dilaksanakan dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. Sebaliknya Kita akan fokus operasi SJR di tempat lain.

"Setakat ini seramai 1,200 anggota kita di seluruh negara sudah dikerah untuk membantu," katanya.

Sementara itu, mengenai terdapat kakitangan JPJ Negeri Sembilan yang positif Covid-19 sehingga menyebabkan operasi pejabat itu terpaksa ditutup selama lima hari, Zailani berkata, hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dapat mengesahkannya.

"Saya hanya boleh katakan bahawa hanya sebilangan kakitangan dikehendaki membuat saringan yang dilakukan pada hari ini (Isnin) dan esok (Selasa). Tak pasti lagi berapa ramai yang positif Covid-19.

"Sebagai langkah pencegahan, kita telah menutup operasi pejabat JPJ Negeri Sembilan dan kerja-kerja sanitasi bangunan telah pun dilakukan semalam (Ahad) oleh pihak bomba," katanya.

.